Malam tadi saya berkesempatan meraikan teman-teman para pembentang Wacana Kesatuan Umat Islam anjuran Isma di sebuah majlis makan malam yang penuh sederhana. Antara yang diraikan ialah Asst Prof. Dr Ahmad Omar Chapakia, Timbalan Rektor Universiti Fatoni dari Thailand, K.H Dr. Muhammad Zaitun Rasmin, Ketua Umum Wahdah dari Indonesia, Dr Maad Ahmad dari Kemboja, K.H Dr Nashirul Haq, Ketua Umum Hidayatullah dari Indonesia, Dr. Basiron Abdullah dari Vietnam. Juga rakan-rakan NGO Islam dari GASMA dan ACCIN.
Turut bersama saya dalam meraikan mereka ialah Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat, Presiden Isma, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa Isma, Hj Aminuddin Yahaya, Perunding Kanan Undang-undang & Politik Isma dan para pimpinan Isma yang lain.
Saya menyorot secara ringkas sejarah penubuhan Isma yang sebenarnya telah bermula lebih awal lagi dengan penglibatan dakwah para pendirinya, biarpun ianya didaftarkan secara rasmi pada 1997. Alhamdulillah, Isma sehingga kini dikenali sebagai sebuah Harakah Islamiyah bergiat aktif dalam kegiatan dakwah di Malaysia dan luar negara.
Di kesempatan ini juga, saya telah sampaikan kepada para hadirin tentang peri pentingnya Harakah Islamiyah untuk melakukan kajian dan murajaah (semakan semula) perjalanan dakwah mereka, menilai kelebihan dan kekurangan, menyemak cara kerja dan pemikiran, adakah masih sesuai dan relevan untuk digunakan pada masa kini dan akan datang.
Setelah melihat pelbagai peristiwa dan perkembangan di peringkat global beberapa tahun kebelakangan ini yang telah memberi kesan besar kepada corak pemikiran dan gerak kerja Harakah Islamiyah, Isma merumuskan bahawa perlunya untuk membuat pembaharuan dalam bekerja.
Kita merasakan perlunya pendekatan baharu untuk memulakan perjalanan dan pemikiran yang baharu bagi menempuh 100 tahun ke hadapan. Maka, salah satu usaha awal yang kita setuju untuk mulakan ialah kesatuan umat Islam di rantau ini.
Saya melihat ke alam Melayu ini, kita sebenarnya mempunyai kesamaan yang hampir dalam kesemua aspek, akidah, agama, bahasa, juga mazhab. Sedikit sahaja perkara yang yang mungkin kita berbeza. Justeru, saya sangat yakin bahawa kita di alam Melayu ini mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan jika saling bersatu padu.
Sehingga kini, tiada institusi kuat yang menyatukan antara kita yang menyebabkan kita terdedah dengan ancaman. Kita ibarat bangkai yang dikerumuni oleh pemangsa. Jadi ini sangat kritikal.
Inilah hasrat Isma dalam penganjuran wacana kali ini, iaitu sebagai langkah awal kita bersama bagi mencari jalan dan titik temu untuk membina semula institusi ummah di rantau ini. Usaha ini pasti akan wujud pelbagai cabaran di tengah jalan. Tetapi selama kita semua berpegang kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah, insha Allah, semangat kasih sayang dan ukhuwah Islamiyah tetap kekal dan umat kita pasti mengukuh satu hari nanti.
Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman
Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)