Keselamatan Wanita: Panduan Praktikal Elak Wanita Jadi Mangsa Jenayah

Wanita sering menjadi mangsa jenayah kerana dilihat sebagai insan yang lemah. Ditambah lagi masih ramai wanita yang tidak cakna dan terlalu mengambil mudah mengenai keselamatan diri, sedangkan risiko untuk diserang penjenayah adalah tidak dijangka. Sejak Januari hingga Ogos 2023, sebanyak 5,050 kes keganasan terhadap wanita telah direkodkan.

Tidak dinafikan jenayah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, namun kesediaan mental dan sentiasa berwaspada merupakan kunci utama. Langkah pertama dalam menjaga keselamatan diri wanita adalah mengenal pasti risiko yang berpotensi untuk berlaku.

Dalam usaha untuk melindungi diri dari risiko bahaya, wanita perlu memahami langkah-langkah praktikal dan sikap yang perlu diamalkan agar dapat melindungi diri sebaiknya.
1. Elakkan keluar bersendirian. Sekiranya terpaksa, hindari kawasan yang tidak ramai orang, serta berjalan dalam keadaan persekitaran yang terang dapat mengurangkan risiko wanita menjadi mangsa jenayah.
2. Sentiasa memaklumkan kepada ahli keluarga atau rakan yang dipercayai tentang keberadaan kita.
3. Elakkan daripada memberitahu maklumat privasi kita di media sosial, termasuklah berkongsi tentang jalan yang sering kita lalu, tempat yang kita pergi dan sebagainya. Hal ini memudahkan penjenayah menganalisis profil kita dan mendedahkan diri kita menjadi mangsa jenayah.
4. Jika diserang atau diganggu, lakukan sesuatu untuk menarik perhatian, contohnya seperti menjerit, meniup wisel, atau menghubungi balai polis terdekat. Pastikan kita ada menyimpan nombor balai polis berhampiran, atau cakna dengan nombor talian kecemasan.
5. Mempelajari ilmu mempertahankan diri juga amat berguna untuk menyelamatkan diri ketika diserang.
6. Sentiasa memohon perlindungan Allah S.W.T dengan membaca doa yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W :
– كانَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يقولُ إِذا خرَجَ من بيتِهِ :
اللَّهمَّ إنِّي أعوذُ بِك مِن أَن أضِلَّ أوأُضَلَّ أَوْ أزِلَّ أَوْ أُزَلَّ أو أظلِمَ أو أُظلَمَ أو أجهَلَ أو يُجهَلَ عليَّ
الراوي : أم سلمة أم المؤمنين
Apabila Rasulullah S.A.W keluar dari rumahnya, baginda selalu berdoa, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada aku tersesat atau disesatkan orang lain, dari aku tergelincir atau digelincirkan orang lain, berlaku zalim atau atau dizalimi orang lain, dari kebodohanku atau diperbodohkan oleh orang lain.” (H.R. Abu Daud)

Ada ketika, penjenayah juga boleh jadi daripada kalangan individu yang kita kenali. Agak sukar untuk mengenalpasti seseorang yang mungkin kita percaya, berniat melakukan jenayah terhadap kita. Namun, kita boleh mengenalpasti sekiranya terdapat beberapa “red flags” pada individu tersebut.

Antaranya termasuklah sering menunjukkan tanda-tanda untuk mengawal atau menekan, bersikap agresif, tidak menghormati batas peribadi wanita, mempunyai rekod penyalahgunaan dadah atau alkohol, dan mempunyai rekod jenayah lampau merupakan satu petunjuk yang tidak boleh diabaikan.
Namun, mencegah sebenarnya adalah lebih baik daripada merawat. Islam amat menjaga hak dan keselamatan wanita tanpa mengongkong. Wanita muslimah wajib menutup aurat, menjaga batas pergaulan, dan mengelakkan berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahram serta menjauhkan diri daripada perkara yang menimbulkan fitnah, adalah sebahagian dari panduan Islam yang melindungi kesucian dan maruah wanita.

Hakikatnya, keselamatan wanita bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi juga masyarakat. Kunci kepada persekitaran yang selamat dan aman lahir daripada masyarakat yang takut kepada Allah, berpegang teguh dengan ajaran Islam, menghormati hak sesama manusia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat