Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga, rakyat Palestin, Pergerakan HAMAS dan seluruh umat Islam dan masyarakat dunia yang memperjuangkan pembebasan Palestin atas kesyahidan Ketua Mujahidin, Asy-Syahid Ismail Haniyeh pada pagi 31 Julai 2024 di Tehran, Iran.
Kematian ini menunjukkan betapa terdesaknya musuh untuk membunuh pemimpin-pemimpin HAMAS dengan tujuan untuk mematikan nadi perjuangan pembebasan Palestin. Sikap bacul dan pengecut ini tidak langsung akan mampu menghentikan bahkan akan menyemarakkan lagi semangat dan daya juang dalam jiwa ummah.
Umat Islam amat memahami sunnah perjuangan yang panjang ini dan akan terus menyambung mata-mata rantai tersebut sehingga mencapai kemenangan hakiki iaitu pembebasan sepenuhnya Palestin dari penjajahan Zionis.
Kematian Asy-syahid Ismail Haniyeh ini akan menjadi saksi ke atas pemimpin-pemimpin negara Islam dan juga dunia yang mengkhianati dan tidak mempedulikan nasib saudara seagama yang dibiarkan mati dan hidup dalam penuh sengsara.
Teruskan berdoa dan gemblengkan usaha dengan segala bentuk dan kemampuan bagi menunjukkan kebersamaan kita sebagai sebuah ummah terhadap tanah suci Palestin. Ini adalah perjuangan kita bersama.
Inilah perjuangan, kemenangan atau mati syahid.
Hiduplah dengan kemuliaan atau mati sebagai syahid.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA