Ketagihan adalah isu utama yang telah merencatkan kemajuan negara khususnya dalam usaha pembentukan jati diri generasi muda. Ketagihan di sini tidak hanya menyentuh isu dadah dan rokok, namun turut merangkumi ketagihan pornografi, seksual dan gajet.
Menurut data daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, 65 peratus daripada 128,325 individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dan ketagihan dadah pada tahun 2020 terdiri daripada mereka yang berumur 19-39 tahun.
Survey yang dijalankan oleh Malaysian Against Pornografi pada 2018 pula mencatatkan, kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun telah menonton pornografi secara sengaja.
Melalui survey yang dijalankan oleh laman pornografi terkenal dunia mendedahkan, trafik carian bahan lucah di internet oleh pelayar maya di Malaysia meningkat kepada 84 peratus semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Secara umumnya, ketagihan adalah berpunca daripada pengeluaran hormon dopamine secara berlebihan ketika mana seseorang itu mengalami sesuatu yang menyeronokkan atau mengujakan. Seseorang individu tersebut akan mula merasa gelisah jika tidak mendapat kepuasan yang sama.
Manakala, otaknya sudah merakamkan situasi dan perbuatan yang membolehkannya merasai kepuasan tersebut. Maka, individu tersebut akan cenderung untuk kembali kepada perbuatan tersebut secara berulang-ulang kali.
Kitaran ini akan terus berputar dan sukar untuk individu tersebut bebas daripada ‘penjara’ ini, walaupun akalnya sedar akan kesalahan tersebut. Tambahan pula, isu tekanan dan kemurungan di kala pandemik Covid-19 kini meransangkan lagi keinginan untuk terus terjebak dalam ketagihan ini.
Secara umumnya, ketagihan ini adalah masalah mental yang perlu diselesaikan secara serius oleh semua lapisan masyarakat. Mereka yang ketagihan ini perlu dilihat seperti seorang pesakit yang memerlukan sokongan moral dan khidmat nasihat. Langkah-langkah penyelesaian perlu merangkumi segenap aspek seperti nilai-nilai spiritual, keagaamaan dan saintifik.
Muhamad Iqbal Hakim Bin Mohd Tahir
Aktivis ISMA Iskandar Puteri