Komuniti Nilai Perkukuh Kesedaran Isu Palestin

NILAI, 15 Disember 2025 — Program Ijtima’ Am ISMA Nilai telah berlangsung baru-baru ini dengan penyertaan daripada ahli komuniti setempat seperti Taman Nilai Perdana, Taman Desa Mayang Sari, Taman Seruni, Pangsapuri Nilai Perdana, Flat Nilai Perdana.

Fokus perjumpaan bersama-sama dengan ahli kali ini adalah pencerahan semasa berkaitan Masjid Al-Aqsa, tanah suci ketiga umat Islam, serta perkembangan pasca Taufan al-Aqsa, 7 Oktober 2023 berasaskan analisis data.

Pengisi utama ialah, Nabil Takiyuddin dari Dunia Palestin, mengupas perkembangan terkini dengan sandaran data dan konteks sejarah. Perkongsian tersebut disambut baik oleh para hadirin dan dilihat relevan untuk diperluas kepada masyarakat umum sebagai usaha membina kesedaran yang berterusan.

Menurut Yang Dipertua ISMA Nilai, Dr. Amin Abdul Rahman, sesi ini menekankan pendekatan kefahaman berfakta dan berdisiplin, melangkaui wacana retorik, bagi membantu masyarakat memahami realiti semasa isu Palestin secara menyeluruh.

“Program seumpama ini membawa mesej penting tentang kesatuan dan kekuatan umat Islam yang terletak pada kebersamaan, kejelasan maklumat dan solidariti yang berteraskan ilmu. Kesatuan ini bukan sahaja memperkukuh sokongan moral dan kemanusiaan terhadap Palestin, malah membentuk komuniti yang lebih cakna, tersusun dan berdaya tindak dalam mendepani isu global yang menyentuh kepentingan umat Islam,” ujar Dr. Amin Abdul Rahman merangkap Yang Dipertua ISMA Nilai.

Program ini sekaligus mencerminkan komitmen komuniti Nilai untuk terus berganding bahu, memupuk semangat persaudaraan dan menyampaikan suara keprihatinan ummah melalui pendekatan aman, berfakta dan berterusan.

Penganjuran program ini turut berperanan sebagai medan memperkukuh ukhuwah, menyatukan pelbagai lapisan komuniti atas dasar keprihatinan bersama terhadap isu ummah sejagat.

Scroll to Top