Perkahwinan merupakan satu ikatan yang suci dan luhur yang menuntut tanggungjawab secara berterusan daripada kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri dalam melayari bahtera rumah tangga.
Masyarakat Islam pada hari ini dimomokkan dengan bayangan palsu tentang perjalanan rumah tangga yang kononnya sentiasa indah melalui drama-drama mahupun sinetron yang ditayangkan di kaca televisyen. Namun, hakikatnya kita perlu sedar bahawa langit tidak selalunya cerah.
Walau seromantik mana pasangan kita, walau semewah mana pakej percutian yang dirancang setiap tahun, konflik rumah tangga pasti menghinggap mahligai cinta yang dibina. Persoalannya, adakah kita bersedia?
Seharusnya pasangan suami isteri perlu menyedari hakikat sebuah perkahwinan yang sebenar supaya ada bekalan ilmu yang betul serta persediaan mental dan emosi yang mantap apabila berhadapan dengan konflik.
Justeru, apakah peranan suami isteri yang perlu diambil ketika berdepan dengan konflik rumah tangga agar jalan penyelesaian dapat dicapai?
1. Kenal pasti faktor berlaku konflik
Terus terang pada pasangan jika ada perkara yang kurang enak atau ada perkara yang kita tidak suka. Terangkan sebab mengapa anda tidak menyukainya dan berikan cadangan penambahbaikan jika perlu. Maklumkan pasangan bahawa tujuan anda berterus terang kerana anda sayangkannya. Sebaiknya cari masa yang sesuai untuk berterus terang.
2. Jangan ceritakan masalah rumah tangga di media sosial
Percayalah, manusia ini terdiri dari pelbagai jenis. Jika anda menceritakan perihal rumah tangga anda untuk tontonan umum, bukan semuanya akan mendoakan rumah tangga anda. Khuatir wujud pula individu yang cuba untuk mengambil kesempatan atas konflik yang terjadi. Ini akan menyebabkan konflik menjadi lebih parah.
3. Komunikasi
Jika berlaku salah faham, jangan terus cuba menegakkan pendirian kita walaupun kita berada di pihak yang betul. Beri ruang untuk pasangan kita bertenang supaya pasangan dapat mendengar segala luahan hati kita dalam keadaan sedar tanpa dipengaruhi emosi yang tidak stabil.
Selain itu, jangan biarkan rumah tangga kita terus sepi tanpa sebarang bicara walaupun sedang berhadapan dengan konflik. Jangan berharap masalah itu akan selesai dengan sendirinya. Berbincanglah. Konflik perlu diselesaikan supaya kedua-dua pasangan merasa tenang dan saling percaya.
4. Solat jemaah bersama
Lazimi solat berjemaah dengan pasangan dan kebiasaannya waktu setelah selesai menunaikan solat adalah waktu yang paling sesuai untuk berkomunikasi. Jangan lupa berdoa kepada Allah. Allah yang mencipta masalah ini dan Allah jua yang berkuasa untuk menyelesaikan segala masalah.
5. Rujuk kaunselor yang berdaftar
Jika konflik berterusan dan anda perlukan khidmat nasihat, rujuklah badan yang berautoriti. Setiap jabatan agama islam negeri (JAIN) ada sistem khidmat nasihat & runding cara kekeluargaan. Anda boleh mendapatkannya melalui talian telefon, emel atau hadir ke kaunter Unit Undang-undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah, yang berhampiran dengan tempat tinggal anda.
Semoga Allah terus mengurniakan nikmat kebahagiaan dan memberikan kita kesabaran yang tinggi dalam melayari bahtera rumah tangga. Rumah tangga ini bukan sekadar tempat untuk menghalalkan hubungan.
Namun, objektif yang lebih besar daripada itu adalah kita ingin melahirkan lebih ramai lagi pejuang-pejuang Islam yang soleh dan musleh melalui pentarbiyahan yang betul di tangan.
Oleh
Puan Hidayatul Sakinah binti Mohd Zulkifli,
Calon PhD Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM dan AJK Kelab NAZIM Kuala Lumpur