Konsert Coldplay: Kerajaan harus tumpu kepada pembinaan modal insan – Timbalan Presiden ISMA

Konsert Coldplay: Kerajaan harus tumpu kepada pembinaan modal insan – Timbalan Presiden ISMA

 

Coldplay bakal mengadakan konsert di Malaysia pada November 2023 dan kedatangannya dialu-alukan oleh Perdana Menteri. Pelbagai reaksi dan maklum balas yang diberikan oleh masyarakat di Malaysia berkaitan dengan konsert tersebut. Kita sebagai umat Islam seharusnya perlu senantiasa peka dengan setiap tindak-tanduk dan aktiviti yang ingin dilaksanakan agar kekal dalam batasan syarak.

Saban hari masyarakat kita terus dilambakkan dengan pelbagai konsert dan hiburan yang menghakis sedikit demi sedikit pegangan agama dan kebudayaan warisan kita. Konsert seumpama ini menimbulkan kebimbangan dalam diri saya. Adakah anak bangsa kita akan dinormalisasikan dengan budaya hedonisme dan lebih membimbangkan apabila ketua negara turut meraikan kedatangan kumpulan tersebut. Umum mengetahui konsert seperti ini pastinya akan melibatkan pencampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang dilarang dalam Islam. Itu belum lagi kita sebut tentang anak-anak muda yang terkinja-kinja sepanjang konsert berlangsung.

Sebagai sebuah negara Islam, fokus kerajaan harus tertumpu kepada pembinaan insan yang semakin hari semakin mengalami kemerosotan berbanding dengan meraikan keterbukaan tanpa batasan yang akhirnya telah menggalakkan penganjuran konsert sebegini. Apatah lagi vokalis kumpulan Coldplay ini dengan jelas dan tanpa segan silu menyatakan sokongan kepada golongan songsang LGBT.

Berdasarkan sebuah hadis; dari Abu Hurairah r.a dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Merupakan tanda baiknya Islam seseorang, dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya. (Hadits riwayat Tirmizi)

Buat umat Islam di seluruh negara, cuba renung seketika. Adakah sebarang pahala yang boleh diraih dengan menghadiri konsert sebegini. Tiket juga bukan kepalang harganya.

Pembentukan ummah fadhilah harus lahir dalam suasana penghayatan agama yang tinggi. Islam bukanlah jumud dan menghalang aktiviti hiburan secara total tetapi ianya perlu sentiasa berada di dalam batas dan had yang dibenarkan syarak.

 

Hj. Muhammad Aizat Rasli

Timbalan Presiden ISMA

12 Mei 2023

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat