Oleh Anas Ghazali
JELEBU, 21 Sept – Pagi Ahad merupakan hari di mana kebanyakan daripada kita lebih selesa untuk duduk di rumah. Bagi anak muda atau pelajar sekolah, sesetengahnya menghabiskan masa bermain permainan di telefon bimbit dan sebagainya.
Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Kuala Pilah telah mengambil inisiatif bagi menarik anak muda ini dengan satu program mendaki Bukit Batu Sawa di Jelebu yang diadakan pada Ahad, 20 September 2020.
Objektif utamanya adalah untuk mengajak mereka agar dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang bermanfaat. Seramai 13 orang anak muda telah menyertai program tersebut.
Pendakian bermula pada pukul 8 pagi dan mengambil masa selama 40 minit untuk sampai ke puncak bukit yang berketinggian 333.33 meter. Bukit ini terkenal untuk para pendaki yang baru berjinak dalam aktiviti pendakian kerana tahap kesukaran yang rendah, malah terdapat kanak- kanak sekecil 6 tahun mampu mendaki bukit tersebut.
Setelah selesai sesi bergambar di puncak bukit, para peserta turun dan berkumpul di masjid berdekatan bagi mengisi perut yang sudah kelaparan di samping mendengar tazkirah ringkas daripada Ustaz Amar Ismat. Beliau berkongsi tentang satu hadis yang menyebut “Barangsiapa yang tiada perasaan malu, maka buatlah apa sahaja yang kamu suka,”. Hadis ini mengajak kita untuk sentiasa menjaga tingkah laku harian kita kerana semua itu akan dicatit dalam buku amalan dan akan ditanya di akhirat nanti.
Rata-rata peserta remaja kelihatan gembira dan berharap program luar sebegini akan diteruskan lagi pada masa hadapan.