Beberapa minggu ini, kita dikejutkan dengan berita yang amat memilukan. Seorang demi seorang anak-anak kita menjadi korban, bukan akibat penyakit, tetapi kerana hilangnya pertimbangan manusia lain. Senarai tragedi ini terlalu panjang untuk disebut daripada seorang murid yang ditemui meninggal dunia di sekolah, pelajar maut dijerut di tandas, dirogol pengawal keselamatan, hinggalah kes rogol dan pembunuhan oleh rakan sebaya. Insiden-insiden yang terpampang di dada akhbar ini membawa isyarat bahawa sistem nilai masyarakat kita sedang tenat, dari sudut jiwa dan moral.
Dalam gelombang kemarahan dan kegusaran, ramai menuding jari kepada sistem pendidikan, terutamanya pihak sekolah. Benar, sistem itu perlu diperbaik dari dasar sehingga ke kurikulum. Namun, kita mesti akui satu hakikat penting: sekolah bukan tempat utama membentuk sahsiah anak-anak. Bagimana, seorang guru mampu membentuk peribadi anak hanya dalam masa enam jam sehari, sedangkan selebihnya mereka hidup dalam suasana rumah dan masyarakat yang mungkin tidak mendidik akhlak dan nilai?
Dalam proses pembinaan insan, ada empat rukun utama yang tidak boleh dikesampingkan: guru, murid, silibus dan persekitaran. Jika salah satu pincang, hasilnya juga tempang. Malah, jika “guru pertama”, yakni ibu bapa, gagal mewujudkan persekitaran baik di rumah, maka anak juga tidak akan terbentuk dengan baik di sekolah. Kesinambungan antara rukun ini mesti ada.
Rumah bukan sekadar tempat anak tidur, makan dan bermain, tetapi madrasah (sekolah) pertama yang membentuk akhlak, emosi dan cara berfikir anak. Jika anak dibesarkan dalam suasana jeritan, makian dan kekasaran, jangan hairan apabila di luar rumah mereka mengulang skrip yang sama.
Tambahan pula, jika telefon pintar sebagai pengasuh anak, maka media sosiallah yang akan membentuk moral dan jiwa mereka. Justeru itu, ibu bapa mesti kembali memegang peranan utama dalam pendidikan anak-anak. Kasih sayang dan bimbingan tidak boleh diganti dengan gajet, perhatian tidak boleh diganti dengan hadiah, dan masa tidak boleh diganti dengan alasan sibuk mencari rezeki.
Namun, tanggungjawab mendidik generasi ini tidak boleh dipikul oleh ibu bapa semata-mata. Dalam budaya kita dahulu, keluarga besar dan komuniti memainkan peranan penting sebagai jaringan keselamatan. Hari ini, pintu rumah kita semakin dekat dan kita berhubung dengan dunia tanpa sempadan, tetapi hati kita dengan komuniti setempat semakin jauh. Kita lupa bahawa sesetengah ibu bapa yang gigih berusaha pun mungkin kehabisan tenaga atau tidak nampak isyarat awal masalah anak. Ketika itu, mereka perlukan sokongan daripada komuniti iaitu jiran, guru, pemimpin setempat dan warga masyarakat untuk menjadi “mata dan telinga” bersama.
Tanpa jaringan sokongan ini, kita secara kolektifnya gagal. Suasana hari ini menjadikan kita segan untuk saling menegur, takut untuk peduli hal jiran kerana tidak mahu dikatakan “menjaga tepi kain orang”. Kita lupa bahawa setiap anak di kejiranan kita adalah amanah bersama. Jika kita mahu anak sendiri menjadi baik tetapi tidak peduli kepada anak jiran, maka kita sedang membina masyarakat yang rapuh dan tidak selamat. Masjid, surau dan pusat komuniti perlu kembali berfungsi sebagai tempat membimbing anak muda. NGO dan persatuan belia harus diberi ruang dan kepercayaan untuk mendampingi remaja yang sedang mencari arah.
Oleh itu, ibu bapa, kembalilah mendidik anak-anak dengan kasih dan disiplin. Keluarga, kembalilah menyantuni dengan hikmah dan tanggungjawab. Masyarakat, kembalilah membina semula jaringan kepedulian. Kita perlu menghidupkan semula budaya menegur dengan hikmah, mengambil tahu dengan ikhlas, dan mendidik dengan sepenuh hati, kerana tidak kiralah anak siapa pun, mendidik generasi ialah tanggungjawab kita semua. Jika kita gagal mendidik bersama, maka yang akan kita warisi bukan sekadar kehilangan anak-anak, tetapi hilangnya masa depan bangsa.
Dr. Siti Sarah binti Amran
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat ISMA