Melihat keterlibatan aktivis Barat yang lebih ramai daripada Muslim dalam memperjuang isu Palestin yang ditindas membuatkan kita terfikir mengapakah mereka lebih lantang dan berani? Sebenarnya, mudah sahaja hendak memahami situasi ini, supaya kita tidak terlalu lurus dalam membaca situasi;
1. Negara-negara Islam telah disibukkan dengan perpecahan, cengkaman ekonomi, dan pencairan akidah, hasilnya ialah satu umat yang terlalu sibuk memikirkan survival, terlalu berpecah untuk mempunyai kesatuan agenda, dan terlalu cair untuk memperjuangkan apa-apa ideologi. Kalau dalam hadis diringkaskan ini dengan wahn; cintakan dunia dan takut mati.
2. Bagi orang seperti Greta Thunberg, mereka tidak menghadap cengkaman-cengkaman ini dalam membesar di Sweden. Ruang luas untuk berfikir tentang perjuangan dan ideologi. Tak rasa takut pun untuk menentang arus kerana ada safety net besar di belakang berupa “generational wealth“, sokongan komuniti, ekosistem. Dia tahu Sweden benarkan dia bersuara, dan akan pertahankan dia kalau di pentas antarabangsa pun.
3. Walaupun figura ini menentang Israel, mereka masih menjadi suara orang berkepentingan. Antaranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang semakin hari semakin hilang legitimasi. Enam tahun lepas, Greta berjaya mendapat pentas daripada UN yang mengangkat beliau kali pertama, sehingga kini dia diberi pentas. Rasanya kalau ada budak sekolah menengah di Banting buat protes climate change enam tahun lepas, ada UN kisah?
4. UN, hanyalah pentas mengekalkan legitimasi orde dunia sekarang. Tidaklah 100 peratus ikhlas dalam memperjuang hak asasi manusia, kemanusiaan. Mengapa keadaan ini berlaku? Kerana 70 tahun konflik Palestin, masih tidak ada apa-apa pergerakan. Mustahil mereka tiba-tiba tahu selepas Taufan Al-Aqsa. Hanya bila pendapat umum bertukar, barulah semua pun terhegeh-hegeh takut hilang legitimasi. Greta sendiri baru mula tweet tentang Palestin selepas Taufan Al-Aqsa. Sebelum itu? Zero.
5. Bagi rakyat umum, kita berterima kasih kepada Greta dan kepada UN atas usaha mereka. Bukannya tiada kesan baik, banyak sahaja bagusnya dan lebih baik daripada pemimpin-pemimpin Islam yang bersekongkol. Tetapi jangan sesekali meletakkan harapan bahawa merekalah kunci kepada pembukaan Palestin dan harapan bagi menyelamatkan masa depan umat. Kita pun sedar daripada hadis akhir zaman bahawa umat islam sendiri yang akan bebaskan Masjidil Aqsa, seperti mana kali pertama ia berlaku.
6. Kita mungkin tidak dibayar apa-apa, tidak mempunyai platform dan sokongan sebuah badan besar seperti UN, dan mungkin berdepan cabaran kehidupan atau ekosistem yang berbeza, tetapi kita perlu terus bekerja untuk berdiri sendiri membela nasib umat. Menentang satu sistem yang sudah cukup mencengkam jalannya mungkin panjang dan tidak popular, tetapi kita terus berjalan.
Mohammad Yusri Jamaluddin
ISMA Cawangan Bangi