Mahasiswa 4K

Mahasiswa merupakan golongan yang dipandang tinggi di Malaysia. Saban hari, golongan mahasiswa semakin kehadapan mengikut perspektif kaca mata pendidikan. Namun, mahasiswa moden ini tidak dapat melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi akhlak dan agama. Di sini saya ingin merungkai cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa dalam melawan arus jahiliah terutamanya dalam kalangan belia sama ada di alam kampus.

Mahasiswa 4K? Apa itu 4K?
4K ialah KOMPUTER, KAFE, KATIL dan Kawan.

1) KOMPUTER (gajet)
Dalam dunia yang diancam oleh wabak Covid-19 , kini sesi pembelajaran dilaksanakan secara atas talian. Hal ini menjadikan pelajar akan menghabiskan banyak masa mereka di hadapan gajet contohnya komputer dan telefon pintar. Inilah rutin bagi setiap pelajar, bermula kelas di pagi hari sehingga petang, dan bersambung pula hingga malam seterusnya ia sudah menjadi norma baharu bagi mahasiswa. Apakan daya, ada sesetengah daripada mahasiswa ini yang mana selepas tamat sesi pembelajaran, masih lagi asyik dengan gajet. Tahukah kita bahawa gajet berupa telefon pintar merupakan pencuri masa yang licik? Cuba kita renung kembali, berapa banyak masa yang telah kita habiskan untuk ‘scroll’ Instagram, Facebook, mengumpat orang dalam group WhatsApp, menonton video lagha di YouTube dan aplikasi lain lagi?

Berdasarkan kajian ‘Norton Online Living Report (NOLR)’ di Malaysia yang dikendalikan oleh Saffron Hill bagi pihak Symantec mengenai tabiat penggunaan internet, mendapati remaja menghabiskan masa 16 jam seminggu melayari Internet. Jumlah itu sebenarnya enam jam lebih banyak daripada masa purata NOLR peringkat global berdasarkan kajian ke atas 12 negara utama dunia dan ia juga empat jam lebih banyak daripada ibu bapa mereka. (Mohd Azis Ngah, 2010).

Jadi, saya kira bahawa isu ini penting untuk diberi penekanan dan pendedahan awal kerana mahasiswa masih lalai dalam mengendalikan gajet. Ada mahasiswa yang beranggapan, tidak menjadi masalah untuk melepaskan tekanan dan penatnya belajar melalui penggunaan gajet. Ya, benar tapi berpada padalah. Dunia kita bukan terikat kepada gajet semata-mata. Kita masih mempunyai banyak tanggungjawab lain yang perlu kita uruskan. Ingat, kita bukan hamba gajet.

2) KAFE
Laman web MStar pernah mengeluarkan artikel yang bertajuk ‘Makan sudah, tapi perut asyik minta diisi! Ketahuilah lima punca buat anda selalu rasa lapar dan antara punca puncanya ialah tekanan dan tidak cukup tidur. Mahasiswa sering mengalami masalah ini, tertekan dengan bidang yang dipelajarinya dan tidak cukup tidur kerana menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pengajar.

Tidak salah untuk ke kafe dan mengisi perut yang lapar. Masalahnya bermula apabila mahasiswa kerap ke kafe sehingga menghabiskan banyak masa di sana. Tidak lagi kita tekankan soal pembaziran yang berlaku. Dan mahasiswa yang kerap ke kafe sentiasa kekeringan wang belanja. ‘Karena yang namanya kenyang membuat badan menjadi berat, hati menjadi keras, kecerdasan berkurang, lebih banyak tidur dan malas ibadah.’ (Siyar A’lamin Nubala, 10: 36).

Oleh itu, mahasiswa perlu bijak dalam mengurus kewangan supaya wang saku tidak banyak melabur ke tempat yang tidak sepatutnya. Mahasiswa juga perlu berwaspada akan liciknya syaitan yang menjerumuskan anak adam supaya malas beribadah kerana perut yang kekenyangan dan perlu mengelakkan pembaziran.

3) KATIL
Kebiasaannya selepas tamat kelas pada petang hari(asar), ada mahasiswa yang terus merebahkan diri di atas katil dan tertidur dibuai mimpi kemudian tersedar apabila terdengar bunyi kokokan ayam di waktu subuh. Berapa banyak waktu solat yang tertinggal? Ya, dua. maghrib dan isyak itupun jika tidak terlepas menunaikan solat asar.

Apabila tiba hujung minggu pula, pasti ramai yang berkata, mahu qada’, ganti semula waktu tidur yang telah terkorban bersama dengan tugasan yang perlu dihantar. Mereka mengambil peluang untuk tidur selepas subuh sehingga zohor dan mungkin lebih dari waktu itu. Wahai mahasiswa sekalian, bukankah Allah telah menciptakan malam untuk beristirehat? Gunakan masa itu sebaiknya.

4) KAWAN
Kawan merupakan satu pengaruh besar dalam kehidupan seorang mahasiswa. Jika baik temannya, maka baiklah seseorang itu dan begitulah sebaliknya. Ada kawan yang suka mengajar kepada kebaikan, maka jangan kita lepaskan kawan seperti ini. Ada kawan yang mengajak ke arah keburukan, jika tidak mampu menasihatinya maka jauhilah. Cuba jujur kepada diri kita, adakah kita dikelilingi orang yang baik atau sebaliknya? Siapa teman rapat kita? Adakah kita dan mereka saling memberi manfaat dan berapa banyak masa yang kita habiskan untuk kawan? Di kampus atau universiti, kebiasaanya kawan kita suka mengajak menonton movie dan K-drama. Ada kawan yang suka mengajak kita membeli belah. Ada kawan suka ajak kita melepak di kafe atau mana mana tempat dan yang paling merisaukan adalah bilamana kawan kita saling menyokong untuk berpasangan atau couple. Astaghfirullah. Belum lagi bercerita soal ikhtilat, di mana pemikiran mahasiswa yang sentiasa merasakan tidak mengapa untuk bergaul, bertepuk tampar dan bergelak ketawa dengan ajnabi.

Jadi kawan-kawan sekalian, kita perlu bijak memilih kawan. Kawan adalah penentu siapa diri kita. Jika tiada biah solehah(suasa yang baik), maka kitalah yang sepatutnya mewujudkan suasana tersebut.

Solusinya, berbaliklah kembali pada Islam, cara hidup yang menyeluruh. Ya, mahasiswa perlu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan tanggungjawab sebagai seorang hamba kepada Tuhan yang menciptakan alam. Sepatutnya, alam kampus dan universiti ini merupakan zaman untuk mencipta kegemilangan. Zaman ini jugalah, mahasiswa sewajarnya berusaha untuk bangun qiamullail, lazimi solat sunat, amalkan solat sunat dhuha, lazimi al-Mathurat dan zikir harian, belajar al-Quran dan lain lain ibadah lagi. Tidak lupa juga untuk mula mengamalkan 10 muwasafat tarbiyah. Kurangkan masa yang kita habiskan untuk perkara lagha dan mula mengamalkan kehidupan sebagai seorang mukmin yang musleh. Tarik nafas dan perlahan lahan hembuskannya. Jom kita jadi mahasiswa permata agama!

Nazatul Najwa Binti Rossimy

Pelajar Kolej Matrikulasi Melaka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat