Mahasiswa hina Yang di-Pertuan Agong, bukti kecelaruan identiti nasional

Tular baru-baru ini persatuan pelajar di sebuah universiti terkemuka negara yang menuntut supaya tiada campur tangaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam urusan pentadbiran negara. Persatuan mahasiswa UMANY ini telah bersikap biadap mendakwa YDPA telah campurtangan dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Semua sedia maklum Malaysia kini berhadapan dengan krisis kepimpinan paling meruncing semenjak penubuhan Malaysia. Institusi YDPA adalah kuasa tertinggi negara yang seharusnya berperanan mengimbangi perang politik dalam kepimpinan kerajaan Malaysia sesuai dengan peruntukan dalam perlembagaan Malaysia.

Maka YDPA telah pun berperanan dengan baik tanpa melampaui mana-mana batas perlembagaan yang ditetapkan. Namun muncul sekelompok mahasiswa yang buta sejarah, identiti dan perlembagaan negara ini, menghamburkan kata-kata biadap terhadap institusi YDPA.

Apabila diselidik, ini bukan kali pertama UMANY buat hal. Sebelum ini mereka lantang menyeru supaya ICERD diratifikasikan. Ingat lagi graduan yang mengangkat “playcard” sewaktu upacara konvokesyen di UM tahun lepas? Ingat lagi playcard “RAYKAT”? Mereka jugalah yang menyokong dokumentari Al-Jazeera yang memburukkan Malaysia. Jelas mereka ini tidak berjiwa patriotik apatah lagi berindentitikan Malaysia. Mereka berselindung di bawah nama demokrasi dan hak kebebasan bersuara. Jika mereka menjunjung tinggi nilai demokrasi, seharusnya mereka perlu menghormati majoriti besar rakyat Malaysia yang mengiktiraf kuasa tertinggi YDPA.

Ini adalah menifestasi kecelaruan identiti nasional generasi muda yang semakin membarah akhir-akhir ini. Boleh saja kita kenakan hukuman dan haramkan persatuan “biadap” ini. Namun, kita masih tidak lagi merawat masalah akarnya iaitu penerapan identiti nasional berteraskan perlembagaan yang longgar terutamanya pada generasi muda.

Sejak di bangku sekolah lagi kita telah mengasingkan pergaulan dan budaya melalui suasana pendidikan yang berbeza. Oleh itu pembudayaan identiti nasional yang seragam berdasarkan perlembagaan gagal diterapkan. Walaupun silibusnya yang hampir sama, namun bentuk penyampaian dalam budaya yang berbeza di sekolah pelbagai aliran menyebabkan berlakunya perbezaan terhadap penafsiran identiti nasional.

Saya percaya UMANY (UM) bukanlah satu-satunya kumpulan mahasiswa yang mendokong agenda anti identiti nasional, bahkan jika tiada penyelesaian yang tuntas, banyak lagi kumpulan seperti ini akan muncul. Apabila integrasi cuba diterapkan di peringkat institusi pengajian tinggi, ia seolah-olahnya sudah terlewat. Agenda asing selain dari agenda nasional telah mula menguasai generasi muda. Kita bukannya cuba menghalang kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa, namun apabila terdapat suara yang terang-terangan bercanggah dengan identiti nasioanal, maka suara itu perlu dihalang kerana cuba merosakkan keharmonian masyarakat di Malaysia.

Institusi YDPA berperlembagaan adalah kuasa tertinggi di negara kita yang menjadi antara tunjang identiti nasional. Mungkin mahasiswa UMANY tidak cukup sedar bahawa mereka berada di Malaysia. Mereka cuba membandingkan Malaysia dengan negara-negara barat yang lain. Sedarlah, setiap negara mempunyai indentiti dan budaya yang tersendiri.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum, kalau masih tak sedar, carilah tempat lain.

 

M Nasrul Muhaimin M Taib

YDP Isma Dungun

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat