Malaysia Harus Tetap Sokong Hamas Pertahan Gaza

  1. Pada minggu lepas satu resolusi dipersetujui oleh beberapa negara telah dibuat berkenaan isu perang Palestin-Israel. Resolusi itu mencadangkan agar Hamas melucutkan senjata sebagai langkah untuk menamatkan perang.
  2. Melucutkan senjata sebelah pihak adalah cadangan yang sentiasa dicadangkan oleh Israel dan sekutunya sejak dari penubuhan negara haram Israel itu lagi. Tapi Israel tidak pernah langsung terfikir untuk melucutkan senjata.
  3. Israel ditubuhkan secara haram dengan kekuatan senjata. Perang dunia pertama dan kedua memungkinkan untuk penubuhan negara haram itu … semuanya adalah dengan kekuatan senjata. Kalau tiada perang itu, tiadalah perjanjian Sykes Picot, tiadalah deklarasi Balfour dan tiadalah penubuhan Liga Bangsa dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Semua ini berkait rapat dengan penubuhan Israel dan semuanya berlaku dengan kekuatan senjata.
  4. Antara 1917 hingga 1948, berlaku kemasukan pendatang haram Yahudi ke bumi Palestin. Mereka diberi latihan ketenteraan dan dibekalkan senjata. British membantu untuk membina pasukan tentera Yahudi seramai 60,000 orang di bumi Palestin. British juga membekalkan senjata kepada beberapa kumpulan pengganas Yahudi seperti Haganah.
  5. 1948, pendatang haram Yahudi sudah sedia untuk membunuh dan menghalau secara besar-besaran penduduk Palestin. Hampir 800 ribu yang diusir dan belasan ribu lagi yang mati dalam peristiwa yang dipanggil Nakbah, semuanya berlaku dengan kekuatan senjata.
  6. Serangan balas dari Liga Arab melalui pelancaran perang beberapa negara Arab pada 1948 dipatahkan oleh Israel yang telah menjadi negara dengan kekuatan senjata. Perang 1956, 1967 dan 1973 Israel masih menang kerana mereka ada senjata dan sentiasa memperbaharui teknologi persenjataan mereka.
  7. Sehingga ke hari ini Israel masih bersenjata. Jentolak Caterpillar yang asalnya digunakan dengan fungsi meruntuhkan rumah sudah menjadi D9R yang lengkap dengan senjata dan keluli kalis serangan RPG. Dari peluru sudah berkembang ke senjata kimia. Teknologi perisikan berkembang selari dengan perkembangan internet dan teknologi AI. Segala yang ada bertukar menjadi senjata; teknologi, media, jentera dan sebagainya.
  8. Tetapi Israel dan sekutunya sentiasa melobi negara Arab dan negara umat Islam untuk melucutkan senjata. Perjanjian Camp David, menjadikan Mesir berhenti menyerang Israel dengan kekuatan senjata. Perjanjian Oslo, Jordan berdamai dan tiada lagi serangan bersenjata. PLO yang dulunya adalah kumpulan jihad bersenjata Fatah kemudiannya melucutkan senjata kerana percaya dengan idea Two State Solution. Yaseer Arafat menanggalkan senjata yang sentiasa dibawanya ke sana ke sini. Bahkan tidak lagi memakai baju dan topi kalis peluru di sebalik serbannya. Fungsi Liga Arab dan OIC yang dulu pernah mengisytiharkan perang ke atas Israel, kini hanya berfungsi sebagai orang tengah rundingan. Dan begitulah jika dilihat kepada negara-negara yang baru melakukan normalisasi dengan Israel; Emirate, Bahrain, Sudan, Morocco, Saudi dan lainnya.
  9. Ancaman kepada Israel kini adalah Hamas dan sekutunya. Kini Hamas diasak untuk melucutkan senjata. Itu tidak menghairankan kerana memang itu yang dikehendaki oleh Israel dari dulu. Yang menghairankan adalah kenapa pemimpin negara umat Islam bersetuju?
  10. Malaysia? Harapan saya pemimpin negara ini biarlah ada keberanian. Keluarlah kenyataan untuk menyatakan bahawa Hamas berhak mempertahankan diri rakyat Palestin dan membebaskan Palestin dengan senjata. Tidak perlulah fikir-fikir. Ini perkara yang jelas mengikut neraca apa pun; neraca agama, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa. Malulah dengan Afrika Selatan dan beberapa negara Barat yang lebih berani.
  11. Benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh seorang penyair:

وسبيل دعوتنا الجهاد وانه
ان ضاع ضاعت حرمة الاوطان

Jalan dakwah kita adalah jihad
Jika ia hilang maka hilanglah maruah tanahair

Wallahul Musta’an

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)

Scroll to Top