SANDAKAN, 16 NOVEMBER – Kelab Nazim Sandakan telah menganjurkan program Masterchef Cilik bertempat di Masjid Nurussyakirin, Taman Indah Jaya.
Seramai 10 orang peserta berumur 7 hingga 12 tahun telah mengambil bahagian dalam program ini yang bertujuan memupuk keyakinan diri, kreativiti serta kemahiran asas memasak melalui aktiviti yang menyeronokkan, selamat dan bersifat pendidikan.


Program dimulakan dengan sesi pendaftaran, sarapan pagi, taklimat serta ice breaking, sebelum para peserta menyertai aktiviti utama iaitu praktikal memasak. Sepanjang aktiviti berlangsung, peserta dibimbing oleh fasilitator dalam menyediakan hidangan mudah seperti koktail buah, sambil diterapkan nilai kerjasama, disiplin dan tanggungjawab dalam kumpulan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan, sesi bergambar dan gotong-royong sebagai usaha membentuk budaya kebersihan, adab dan etika selepas beraktiviti.
Sambutan positif daripada peserta dan ibu bapa menggambarkan keberkesanan penganjuran program berbentuk kemahiran hidup ini.
Menurut pengarah program, Ismawati Binti Fatahudin, program Masterchef Cilik bukan sahaja memberi pengalaman berharga kepada kanak-kanak, malah membantu membina keyakinan, daya kreativiti dan kemahiran kendiri yang penting sejak usia awal.


