JITRA, 31 Ogos 2025 – Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kubang Pasu dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Gemilang telah menganjurkan Karnival Sukan Rakyat dengan penglibatan 350 orang penduduk setempat.
Pelbagai acara sukan rakyat dianjurkan seperti kukur nyior, musang berjanggut, terompah gergasi, tarik tali, bawa bola pingpong dalam sudu, isi air dalam botol, kutip gula-gula dalam tepung, serta permainan semakin jauh semakin sayang.
Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja mencuit hati dan menghiburkan, malah berjaya menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Lebih manis, karnival kali ini turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India. Penyertaan berbilang kaum ini menyerlahkan keharmonian serta nilai muhibah yang terus subur dalam komuniti Taman Gemilang.

Naib Yang Dipertua ISMA Kubang Pasu, En. Mohd Zainal bin Mat Il, merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan para sukarelawan:
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Penduduk Taman Gemilang atas jemputan sebagai AJK Aktiviti, serta kepada relawan muda daripada IPDA dan Pemuda ISMA. Semoga program ini menjadi pemangkin kepada semangat kerjasama dan manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat.”
Sementara itu, wakil Persatuan Penduduk Taman Gemilang, Dr. Mohd Hisham bin Mohd Sharif, turut menzahirkan apresiasi terhadap sumbangan ISMA.



“Jutaan terima kasih kepada ISMA Kubang Pasu kerana membantu menjayakan program kemerdekaan kali ini. Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan dalam pelbagai bentuk program – sama ada sukan, kerohanian, mahupun aktiviti kebajikan – demi kebaikan penduduk dan hubungan yang lebih erat.”
Kerjasama erat ini menjadi bukti bahawa sinergi antara gerakan dakwah dan masyarakat setempat mampu melahirkan sebuah komuniti yang harmoni, berdaya tahan dan berpandangan jauh. ISMA Kubang Pasu akan terus komited untuk mendekati masyarakat melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, khususnya dalam misi melahirkan sebuah komuniti yang sejahtera, bersatu padu dan berteraskan nilai Islam.