Masyarakat Sokong Tindakan Cegah Golongan Transgender ke Masjid, Perhalusi Program Bimbingan

Oleh: Mohammed Rasheedan bin Ellin (Ketua Biro Komunikasi Korporat dan Multimedia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Lumpur)

Langkah pencegahan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Perlis untuk tidak membenarkan golongan transgender masuk ke kawasan masjid bertepatan dengan kehendak masyarakat yang inginkan jaminan keselamatan terutama sekali untuk golongan wanita yang mengunjungi masjid.

Golongan transgender yang berada dalam keadaan keliru, seperti berpakaian menyerupai wanita, sekiranya memasuki ruang solat Wanita akan mengganggu ketenteraman dan keselamatan jemaah wanita, termasuk pendedahan aurat wanita secara tidak disedari.

Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Lumpur, Saudara Muhammad Nukman ketika ditanya mengatakan bahawa sememangnya, masjid adalah simbol Islam dan masyarakat Muslim. Dalamnya dipisahkan haq dan batil dengan ilmu dan ibadah. Membawa masuk golongan transgender hanya mengelirukan furqan (beza haq batil) dan mengganggu proses ibadah jemaah.

Memandang isu ini dalam konteks yang lebih besar, beliau mengatakan bahawa golongan transgender tidak perlu diberi ruang merebak. Rasulullah s.a.w. bukan sahaja melaknat golongan ini, bahkan menyuruh mengusir mereka dari rumah.

Mendengar suara daripada golongan wanita sendiri, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Lumpur, Puan Farhana Zawani mengulas bahawa cadangan larangan transgender ke masjid adalah amat disokong sekiranya ia boleh menimbulkan fitnah dan mengganggu ketenteraman majoriti mereka yang ke masjid.

“Maslahat umum lebih utama berbanding maslahat peribadi. Tindakan tegas sebegini perlu diambil supaya mereka berusaha untuk meninggalkan perbuatan yang dilaknat oleh Allah ini”, tambahnya.

Walau bagaimanapun, sokongan larangan golongan transgender untuk memasuki masjid bukanlah membawa maksud menutup pintu dan ruang mereka untuk bertaubat. Perkara ini perlu jelas agar tidak dipolemikkan, lebih-lebih lagi oleh pihak yang gemar menangguk di air yang keruh.

“Taubat tidak boleh hanya ditempelkan dengan masjid kerana taubat boleh diraih dimana sahaja dan waktu apa pun. Menghalanginya masuk masjid tidak menghalang mereka taubat. Namun pintu masjid sentiasa terbuka untuk pendosa mana pun termasuk transgender yang bertaubat dan berubah”, jelas Muhammad Nukman.

Bahkan pihak masjid perlu menjadi institusi utama yang membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan. Pihak masjid dan kerajaan boleh meneruskan kelas atau program bimbingan untuk membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan.

Dalam nada yang sama, Ketua Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Lumpur, Ustaz Shihab Rashidee menegaskan bahawa langkah dakwah melalui kem pemulihan perlu diperluaskan untuk membantu mereka yang terkena dengan ‘penyakit’ ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat