Penubuhan matrikulasi adalah atas asas untuk memastikan orang-orang Melayu dan Bumiputera mendapat persediaan dan sokongan yang mencukupi untuk melangkah masuk ke institusi pengajian tinggi awam di Malaysia.
Daripada sudut perlembagaan, penubuhan matrikulasi dilindungi oleh Perkara 153 yang membenarkan perizaban kuota bagi Melayu dan Bumiputera untuk masuk ke pengajian tinggi atau kolej.
Semua pihak samada kerajaan dan juga masyarakat mesti sentiasa mendokong berkenaan hal ini sebagai salah satu hak keistimewaan Melayu dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
Kita ingin menegaskan bahawa segala usaha untuk meningkatkan keupayaan orang-orang Melayu dan Bumiputera terutama di kawasan luar bandar mesti dijadikan keutamaan dalam pelan pembangunan negara.
Hak dan kuota untuk orang Melayu dan Bumiputera bukan suatu ketidakadilan sosial tapi ia adalah manifestasi awal ketika penubuhan Malaysia dahulu. Ini adalah untuk melindungi hak orang Melayu dan kaum Bumiputera sebagai bangsa asal di Tanah Melayu.
Hak dan kepentingan semua kaum di Malaysia sudah pun dijamin dan terpelihara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Amat jauh sekali jika Perkara 153 ditafsirkan sebagai satu bentuk diskriminasi atau bercanggah dengan prinsip keadilan. Ini pun terbukti selama ini, tiada mana-mana kaum yang dinafikan hak mereka dalam menjalani kehidupan yang sejahtera di bumi bertuah ini.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA