Baru-baru ini, Putrajaya melalui Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Marhamah Rosli, telah mengarahkan agar istilah “LGBT” dihentikan penggunaannya dalam wacana awam dan digantikan dengan “budaya songsang”. Langkah ini bertujuan membendung normalisasi gaya hidup yang bercanggah dengan nilai fitrah dan agama di Malaysia.
Kita harus memuji ketegasan menteri dalam meletakkan sempadan moral yang jelas. Namun, dalam mendepani arus globalisasi digital, kita harus bertanya secara strategik: Adakah sekadar menukar istilah cukup untuk menghentikan gelombang ini? Atau adakah kita sebenarnya sedang menyerahkan gelanggang naratif kepada pihak yang berkepentingan tanpa sedar?
Realiti di lapangan: ancaman tetap berlaku walau nama tidak digunakan
Pengubahan istilah dalam wacana dan pekeliling kerajaan tidak mengubah hakikat bahawa ancaman sering beroperasi jauh di bawah radar kesedaran masyarakat. Ketidaktahuan bukanlah perisai; bahkan ia adalah satu kelemahan yang dieksploitasi oleh mereka yang berniat jahat.
Pertimbangkan senario di sekolah atau kejiranan kita. Seorang kanak-kanak yang sedang diantun (grooming) oleh pemangsa (predator) dalam talian tidak menyedari apa yang sedang berlaku kepadanya.
Bukan kerana dia tidak pernah diajar tentang nilai, tetapi kerana dia tidak pernah diajar nama bagi ancaman tersebut. Jika dia tidak tahu istilah “LGBT”, “pedofilia”, atau “grooming”, dan hanya mengenali istilah “budaya songsang” yang sangat umum, dia tidak akan nampak perkaitan antara perlakuan pemangsa itu dengan bahaya yang dimaksudkan.
Perkara ini mengingatkan kita kepada satu syair Arab yang masyhur oleh penyair Abu Firas Al-Hamdani:
عَرَفْتُ الشرَّ لا للشرِّ ولكنْ لِتَوَقِّيهِ
ومَن لا يَعْرِفُ الشرَّ من الخيرِ يقع فيه
(Aku mengenali keburukan bukan untuk melakukannya, tetapi untuk membentengi diri darinya. Sesiapa yang tidak mengenali keburukan daripada [perspektif] kebaikan, akan terjatuh ke dalamnya.)
Bait ini mengajar kita bahawa pengetahuan tentang ancaman adalah kunci keselamatan. Apabila kita enggan menyebut atau mengenali istilah yang digunakan oleh gerakan ideologi moden, kita sebenarnya sedang membiarkan masyarakat kita, terutamanya anak-anak berada dalam keadaan “buta istilah”. Tanpa keupayaan membezakan (distinction), mereka akan lebih mudah terjerumus ke dalam lubang fitnah tanpa disedari.
Kerugian strategik di ruang digital
Dari sudut digital, tindakan mengelakkan istilah “LGBT” adalah satu kerugian buat ummah. Kita akan kehilangan Kuasa Carian (SEO); ruang digital untuk kata kunci tersebut akan dikuasai sepenuhnya oleh naratif liberal dari Barat. Jika seorang anak muda mencari maklumat mengenai “LGBT” di Google, mereka tidak lagi akan menemui perspektif agama dari Malaysia, sebaliknya hanya akan dihidangkan dengan kandungan yang mempromosikan gaya hidup tersebut.
Ini juga akan merugikan apabila seseorang yang ingin keluar dari gaya hidup ini mencari bantuan dalam talian menggunakan istilah yang mereka tahu (LGBT). Jika sumber bantuan dalam Bahasa Melayu tidak muncul kerana kita telah menukar istilah tersebut, kita secara tidak sengaja telah mengosongkan laluan pemulihan di ruang digital.
Selain itu, istilah “budaya songsang” adalah sangat umum. Ia boleh merujuk kepada apa sahaja jenayah moral. Tanpa menggunakan istilah yang khusus (yang digunakan oleh ideologi dan pelaku itu sendiri), usaha untuk mendiagnosis, merawat, dan mendidik komuniti sasaran akan menjadi cair dan tidak tepat.
Kita juga perlu sedar bahawa normalisasi pada hari ini berlaku dalam algoritma TikTok, siri Netflix, kecerdasan buatan (AI terutamanya Large Language Model), dan budaya pop global. Menukar nama dalam pekeliling kerajaan hanyalah bersifat kosmetik jika ekosistem nilai di akar umbi tidak diperkukuhkan.
Membina Ekosistem Nilai
Perjuangan mempertahankan nilai tidak boleh hanya bersifat terminologi. Tetapi mesti disertai dengan pembinaan komuniti, keluarga, dan institusi yang berterusan:
Peranan Kementerian: Bukannya melarikan diri daripada istilah, kementerian harus memanfaatkan istilah tersebut untuk memberikan definisi fitrah dan sudut pandang agama yang sebenar. Kita perlukan naratif alternatif yang kuat, pendidikan seksualiti berteraskan agama yang holistik, dan sokongan psiko-sosial yang inklusif untuk membimbing mereka yang ingin kembali ke jalan fitrah.
Peranan Keluarga: Ibu bapa mesti menjadi rujukan pertama bagi anak-anak di rumah. Jangan takut untuk berbincang secara terbuka tentang istilah-istilah ini, kaitkan LGBT secara terus dengan budaya songsang. Jika anak-anak tidak tahu daripada ibu bapa sendiri, mereka akan mendapatkan maklumat dari luar. Didik anak-anak untuk mengenali istilah daripada ideologi yang bertentangan dengan nilai agama dan budaya tempatan.
Peranan Masyarakat: Masyarakat perlu menjadi sistem sokongan yang membantu pemulihan, bukan sekadar menghukum. Kita perlu membina komuniti yang membenci perbuatan tersebut tetapi mengasihi individu itu dengan tujuan untuk membimbing mereka kembali kepada fitrah. Masyarakat mestilah menjadi mata dan telinga ummah, yang berperanan memantau aktiviti kawasan kejiranan dan melaporkan penganjuran acara yang melanggar norma tempatan mengikut saluran undang-undang.
Kuatkan dasar, bukan bermain dengan istilah
Melawan normalisasi memerlukan kita hadir di mana normalisasi itu berlaku. Ia tidak berlaku dalam kamus semata-mata, tetapi dalam jiwa, minda, dan peranti anak muda kita. Jangan beri ruang kepada puak berkepentingan mendefinisikan istilah-istilah yang digunakan secara meluas (widely used) mengikut kehendak mereka, hanya kerana kita enggan menyebut istilah cabaran yang sedang dihadapi.
Sudah tiba masanya menteri dan kerajaan beralih daripada tindakan simbolik kepada tindakan dasar. Jangan sampai kita menang dalam menukar istilah, tetapi kalah dalam menyelamatkan generasi.
Dr. Siti Sarah binti Amran
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) ISMA


