Al-Quran tidak diturunkan hanya untuk dibaca. Bahkan merupakan petunjuk hidup yang membimbing manusia dalam membina peribadi, masyarakat, negara dan seterusnya sebuah ummah.
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus.”
(Surah al-Isra’: 9)
Petunjuk yang dimaksudkan dalam ayat ini merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk pembentukan akhlak, pengurusan keluarga, kepimpinan masyarakat dan sehinggalah kepada pembinaan sebuah peradaban yang berasaskan nilai-nilai Islam.
Generasi sahabat yang dididik secara langsung oleh Rasulullah SAW bukanlah sekadar generasi yang banyak membaca al-Quran, mereka adalah generasi yang hidup dengan al-Quran.
Ayat-ayat wahyu bukan hanya dilafazkan di bibir, tetapi dihayati dan dijadikan panduan dalam setiap keputusan kehidupan. Inilah pendekatan yang akhirnya melahirkan generasi yang bukan sahaja kuat imannya tetapi memiliki kemampuan memimpin dan membina sesebuah tamadun.
Hasilnya, umat Islam berjaya membina sebuah tamadun yang luar biasa. Unggul dari segi keilmuan, sistem sosial, kepimpinan dan pembangunan masyarakat. Semua ini berakar daripada satu sumber yang sama iaitu Al-Quran.
Para pejuang Palestin yang mempertahankan tanah air mereka adalah antara bukti paling hampir bahawa al-Quran adalah bahan bakar sebuah perjuangan. Para pejuang ini membesar dalam suasana yang dekat dengan al-Quran seperti, menghafal sejak kecil, berterusan membaca dan menjadikannya sumber kekuatan dalam menghadapi tekanan dan perjuangan yang panjang.
Pada setiap celahan terowong, di bawah hujanan bom yang tidak henti-henti, mereka masih membaca dan mengulang hafazan al-Quran. Al-Quran bukan sekadar memberi mereka semangat, bahkan membentuk cara fikir terhadap pengorbanan dan perjuangan. Inilah yang membezakan pejuang yang ditempa oleh al-Quran dengan manusia biasa.
Persoalan yang perlu kita renungkan ialah sejauh manakah hubungan kita sendiri dengan al-Quran pada hari ini? Ramadan sebagai bulan diturunkannya al-Quran. Inilah masa terbaik untuk memperbaharui hubungan kita dengan al-Quran.
Membina tamadun berasaskan al-Quran tidak akan terjadi dengan perubahan besar secara tiba-tiba. Tetapi, bermula dengan individu yang menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, kemudian membina keluarga yang berteraskan nilai wahyu, seterusnya melahirkan sebuah Ummah Fadhilah.
Mohammad Hafiz bin Johar
Pengarah Kelab Remaja ISMA (KRIM) Johor Bahru


