Membudayakan Perencanaan Dalam Keluarga Melayu Muslim

Pendahuluan

Bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini berhadapan dengan pelbagai gejala keruntuhan yang mengancam kesinambungan sebagai umat yang menjadi tonggak kepada sebuah negara dan teras kepada sebuah tamadun yang pernah menjadi kebanggaan dan digeruni dunia pada satu masa dahulu.

Keruntuhan ini berpunca daripada terungkainya ikatan-ikatan intima (penggabungan diri) di kalangan bangsa ini terhadap agama, intitusi keluarga dan bangsa sendiri yang akhirnya melemahkan keterikatan ukhuwah dan persaudaraan sesama umat Islam.

ISMA menganggap intitusi keluarga memainkan peranan penting dalam mempertahankan keutuhan satu-satu masyarakat dan bangsa. Keruntuhan intitusi keluarga membawa keruntuhan masyarakat dan keruntuhan masyarakat membawa keruntuhan negara dan keruntuhan negara menyebabkan keruntuhan saki-baki warisan peninggalan dari tamadun silam. Pengaruh liberalisasi barat telah mengancam intitusi keluarga di timur Islam.

Walaupun kita masih berpegang dengan Islam tetapi pengaruh globalisasi telah menembusi segala tembok dan nilai hidup barat telah menerjah masuk ke setiap rumah kita.

Walaupun masyarakat kita masih berpegang kepada intitusi keluarga sebagai salah satu rukun dalam sistem kemasyarakatan tetapi kita dapat lihat nilai kekeluargaan dan intima’ kepada keluarga telah hampir luntur sama sekali. Fungsi sistem kekeluargaan sebagai teras dalam pembentukan keperibadian dan akhlak sesaorang individu sudah tidak bermakna lagi.

Pada zaman dahulu seseorang berbangga dia dari keluarga fulan dan dari keturunan fulan kerana intima’ itu melambangkan kehebatan keperibadian dan keutuhan pekerti dan akhlak (adab). Tetapi kini keluarga sudah tidak memberi nilai apa-apa dalam pembentukan profil seseorang individu. Intima’ kekeluargaan tidak dapat menjadi benteng seseorang untuk mempertahankan diri daripada ancaman keruntuhan nilai.

Di barat tidak ada definisi yang jelas tentang sistem kekeluargaan, apa tidaknya perkahwinan bukan sahaja di antara lelaki dengan perempuan tetapi boleh dilakukan antara perempuan dengan perempuan dan juga lelaki sesama lelaki. Walaupun masih ada kekeluargaan dalam sistem kita tetapi fungsinya telah tidak sepertinya lagi.

Keruntuhan intitusi keluarga adalah antara sebab utama kepada berleluasanya fenomena keruntuhan masyarakat pada hari ini. Oleh itu membincangkan tajuk konvensyen kita pada hari ini adalah sangat penting bagi membangkitkan dan mengukuhkan sistem kekeluargaan di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Masyarakat Islam di negara ini berhadapan dengan dua cabaran besar:

1. Mempertahankan keutuhan intitusi kekeluargaan sebagai satu unit daripada komponen pembentukan sebuah masyarakat

2. Memastikan pembentukan sebuah keluarga yang dapat menjamin kesinambungan nilai kehebatan diri dan penyambung kepada keluhuran peradaban bangsa.

Apakah yang kita maksudkan dengan perencanaan? Bagaimanakah Islam menyusun perancanaan dalam sistem kekeluargaan Islam?

Perkataan perencanaan secara umumnya, mempunyai persamaan maksud dengan perancangan. Oleh kerana perkataan perancangan sering diertikan dengan maksud menghadkan kelahiran, maka konvensyen memilih untuk menggantikan perkataan tersebut dengan perkataan perencanaan.

Maksud pembudayaan perencanaan dalam konteks perbincangan kita di sini ialah menghidupkan amalan perancangan dalam proses mewujudkan sebuah keluarga dalam kerangka agenda umum sesebuah masyarakat atau bangsa (umat). Keluarga adalah satu kelompok masyarakat, himpunan beberapa keluarga yang membentuk sebuah masyarakat. Ia adalah satu sistem semulajadi yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat:

يأيها الناس إنا خلقتكم من ذكر وأنثى وجعلتكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقنكم إن الله عليم خبير

13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al Hujurat: 13)

Keluarga muslim memikul agenda

Avat surah al-Hujurat yang dibacakan tadi menjelaskan dengan terang hikmat kejadian manusia berpasangan (berkeluarga) kemudian membentuk bangsa bangsa ialah supaya mereka berlumba-lumba untuk menjadi bangsa yang terbaik di sisi Allah. Allah S.W.T telah menetapkan ukuran untuk menjadi terbaik iaitu takwa.

Dalam pada itu Allah s.w.t telah menyingkap fitrah bagaimana kejadian kehidupan berkeluarga itu untuk memberi kedamaian hidup di dunia ini. Dan Allah telah menjadikan pada kejadian keluarga itu sendiri sebagai bukti kebesaranNya.

Allah berfirman di dalam Surah Rum:

ومن ، ايته، أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورحمة إن في ذالك لايت لقوم يتفكرون

21. Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah Ar-Rum:21)

Memahami hikmat kejadian yang hebat di sebalik sistem kekeluargaan sekali lagi Allah menegaskan di permulaan ayat dari Surah An-Nisa dengan bertakwalah kamu kepada Allah seraya berpesan peliharalah silaturahim.

Firman Allah S.W.T:

يأيها الناس اتقوا ربكم الذي خلقكم من نفس وحدة وخلق منها زوجها وبث منهما رجالاً كثيرا ونساء واتقوا الله الذي تساءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا و

1. Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan – lelaki dan perempuan. yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu. (Surah An-Nisa’: 1)

Ayat ini menjelaskan hikmat dan maksud daripada kejadian dengan tontonan agar bertakwa kepada Allah dan dalam penjagaan hubungan kerabat.

Untuk menjelaskan lagi maksud mari kita meneliti sepotong hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w;

فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « تزوجوا المودود الولود ، فإني مكاثر بكم الأمم » ( هذا حديث صحيح الإسناد )

“Kahwinilah wanita yang penyayang dan banyak anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umat.”

Pengembangan Islam telah berlaku dengan semula jadi melalui percambahan zuriat manusia dari keluarga yang beriman. Bermula daripada keluarga yang beriman ini lahirlah kabilah-kabilah dan bangsa-bangsa yang kemudian silih berganti memainkan peranan mendaulatkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Keluarga dalam pewarisan akhlak dan budi pekerti mulia

عن عائشة رضي الله عنها ، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : « تخيروا للطفكم ، فانكحوا الأكفاء ، وأنكحوا إليهم

رواه الحاكم

Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Pilihlah wanita untuk air mani kamu, kahwinilah mereka yang sekufu, kahwinilah mereka.” Diriwayatkan oleh Hakim.

الخبيثت للحبيين والخبيثون للخبيئت والطيبت للطيبين والطيبون للطيبت أوليك مبرون مما يقولون لهم مغفرة ورزق كريم 2

26. (Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat: dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (Surah An-Nur: 26)

Dalam peradaban Islam intima’ keluarga adalah sebahagian daripada profil seseorang. Setiap orang akan berbangga dengan intima mereka dengan keluarga kerana ia membawa identiti yang hebat yang diwarisi secara turun temurun. Kita pernah dengar dengan cerita kemurahan keluarga Adi bin Hatim At-Ta’ie yang terkenal dengan pemurahnya sehingga digelar dengan ‘at-ta “ie” kerana sifat suka mendermanya.

Begitulah setiap keluarga membayangkan beberapa ciri dan sifat keperibadian yang diwarisi dari generasi ke generasi. Ini menunjukkan peranan institusi kekeluargaan itu bukan sekadar tanggungjawab fizikal berbentuk penyediaan makan dan pakai kepada anak-anak sahaja tetapi lebih besar daripada itu iaitu menjuarai sifat-sifat unggul yang menjadi sebahagian daripada identiti keluarga.

Dulu keluarga saya dikenali dengan sifat berani, iffah dan menjaga maruah. Biar pun kaluarga kami miskin, ‘pantang tok nenek’ untuk kami menggadai prinsip perinsip tersebut walau apapun keadaan. Saya berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga ini kerana maruah dan keperibadiannya walaupun kami miskin dan tidak berwang.

Pembentukan keluarga moden kini sudah tidak lagi mengambil kira aspek keunggulan pekerti dan keperibadian. Mungkin satu nilai sahaja yang diutamakan ialah menjadi kaya. Bin dan dari keluarga mana tidak siapa kisah lagi, mungkin yang akan diperkatakan ialah ia anak orang kaya.

Dulu orang sebut dalam profil peribadi, ia dilahirkan dalam keluarga ulamak, kaum yang berkepribadian tinggi, keturunan pejuang, satu keluarga yang pemurah dan sebagainya. Jika perkara ini tidak dijaga, maka generasi kita masa depan akan kehilangan profil yang baik.

Saya memetik bebarapa contoh keperibadian yang unggul yang lahir dari latar belakang keluarga yang hebat:

1. Salahuddin Al-Ayubi

Beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga berketurunan Kurdi di Tikrit pada tahun 532H. Ayahnya adalah seorang yang hebat, sangat pandai dan memiliki sejarah hidup yang gemilang. Ayahnya merupakan guru pertama beliau sebelum beliau berguru dengan ulamak yang lain. Apabila Raja Nuruddin Mahmud menguasai bandar Damsyik, Salahuddin dan ayahnya banyak melazimi baginda sehingga Salahuddin sempat berguru dengannya tentang ilmu-ilmu perang. Maka tidak mustahillah Salahuddin selaku ketua tentera Islam berjaya membebaskan kota Palestin daripada tangan tentera salib pada tahun 583H. Beliau juga adalah pengasas kerajaan Ayubiyah.

2. Muhammad Al-Fateh

Sejak kecil beliau dididik oleh ayahnya dengan didikan agama. Kemudian para ulamak memainkan peranan dalam membentuk peribadi pejuang di dalam dirinya. Syeikh Ahmad bin Ismail Al-Kurani dan Syeikh Aaqa Syamsuddin banyak memberi pengajaran kepada beliau. Sejak kecil beliau selalu dibisikkan dengan hadis Nabi: “Konstantinople akan dibuka oleh Raja yang merupakan sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” Bermula dari itu, beliau berazam untuk menjadi orang yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad S.A. W dan beliau berjaya membuktikannya ketika beliau baru berumur 24 tahun.

3. Sultan Abdul Hamid II

Sultan Abdul Hamid II merupakan sultan yang ke-34 di dalam susur galur kerajaan Islam Uthmaniyah. Sejak kematian ibu tunggalnya ketika berusia 8 tahun, beliau dibesarkan pula oleh ibu tirinya yang terkenal dengan kuat agamadan baik budi akhlaknya.

Sultan Abdul Hamid amat menyayanginya sehingga beliau mengungkapkan satu kata-kata yang hebat, “Kalaulah ibu kandungku masih hidup, pasti dia tidak mampu menjagaku seperti ibu tiriku ini.” Selain itu, beliau diajar dengan pelbagai ilmu termasuk ilmu bahasa, ilmu perang, kemahiran menunggang kuda dan memanah.

Daripada keluarga yang berprofil tinggi inilah lahirnya pemimpin-pemimpin, pejuang-pejuang, tokoh-tokoh masyarakat dan seterusnya orang-orang yang hebat. Mari kita baca profil tokoh-tokoh terbilang sepanjang sejarah dari mana datangnya mereka?

Peranan ketua keluarga dalam melahirkan keluarga berencana (mewariskan agama)

الرجال قوامون على النساء بما فضل الله بعضهم على بعض وبما أنفقوا من أموالهم فالصلحت قيت حفظت للغيب بما حفظ الله والتي تخافون نشوزه فعظوهن واهجروهن في المضاجع واضربوهن فإن أطعنكم فلا تبغوا عليهن سبيلاً إن الله كان عليا كبيرا

34. Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (Surah An-Nisa’:34)

Islam meletakkan perencanaan sesebuah keluarga pada wujudnya lelaki beriman, kuat, soleh dan memahami tanggungjawab risalah agama Allah diatas muka bumi ini.

Sabda Nabi S.A.W dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar RA:

كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته

Maksudnya: Setiap daripada kamu adalah penjaga, dan setiap kamu akan ditanya akan jagaannya..

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari

dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA:

ما من مولود إلا يولد على الفطرة فأنواة يهودانه ، أو ينصرانه ، أو يمحساني

Maksudnya: Tiada satu pun anak yang dilahirkan melainkan dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapalah yang bertanggungjawab menjadikannya Yahudi, Nasrani dan

مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر سنين وفرقوا بينهم في المضاجع

Maksudnya: Suruh anak-anak kamu menunaikan solat ketika umur mereka tujuh tahun, pukullah mereka ketika berumur sepuluh tahun, dan asingkan tempat tidur mereka pada usia tersebut.

Begitu juga firman Allah s.w.t. dalam surah al-Tahrim:

يأيها الذين ءامنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة عليها مليكة غلاظ

شداد لا يعصون الله ما أمرهم ويفعلون ما يؤمرون .

6. Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah At-Tahrim: 9)

Mari kita hayati pesanan-pesanan Luqman al-Hakim:

وإذ قال لقمن لابنه، وهو يعظه، يبنى لا تشرك بالله إن الشرك لظلم عظيم

13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar” (Surah Luqman: 13)

Hak dan tanggungjawab dalam keluarga Islam.

Ketika membicarakan tentang tanggungjawab dan hak suami isteri Allah berfirman dalam Surah An-Nisa’:

ولا تتمنوا ما فضل الله به بعضكم على بعض للرجال نصيب مما اكتسبوا وللنساء نصيب مما اكتسين وستلوا الله من فضله إن الله كان بكل شيء عليما –

1- Pemilikan harta

32. Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian daripada kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

2- Kewajiban nafkah atas bapa

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah:

* والولدات يرضعن أولدهن حولين كاملين لمن أراد أن يتم الرضاعة وعلى المولود له رزقهن وكسوتهن بالمعروف لا تكلف نفس إلا وسعها لا تضار والدة بولدها ولا مولود له بولده، وعلى الوارث مثل ذلك فإن أرادا فصالاً عن تراض منهما وتشاور فلا جناح عليهما وإن أردتم أن تشترضعوا أولدكم فلا جناح عليكم إذا سلمتم ما اتيتم بالمعروفواتقوا الله وأعلموا أن الله بما تعملون بصير

233. Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap laitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurutcara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu Dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

3- Kewajipan isteri mentaati suami

عن أبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : ( إذا صلت المرأة خمسها وصاعت شهرها وحصنت فرجها وأطاعت بعلها دخلت من أي أبواب الجنة شاءت ) رواه ابن حبان

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang wanita itu solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka dia akan masuk ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dia suka.” Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban.

4- Kewajipan anak terhadap ibu bapa

وإذ أخذنا ميثق بني إسراويل لا تعبدون إلا الله وبالوالدين إحسانا وذى القربى واليتامى والمسكين وقولوا للناس حسنا وأقيموا الصلوة وعاثوا الزكوة ثم توليتم إلا قليلاًمنكم وأنتم معرضون

83. Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik, dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya. (Surah Al-Baqarah: 83)

Kesimpulan (membudayakan perencanaan)

Daripada apa yang dibentangkan di atas menunjukkan betapa pentingnya kita melahirkan keluarga yang beragenda, yang memahami risalah dan iltizam dengan tanggungjawab penerusan generasi bertakwa yang mewarisi nilai mulia dan teras peradaban. Keluarga berencana akan dapat merubah profil anak-anak kita dan menjadikan mereka merasa bangga dengan intima’ mereka kepada keluarga mereka. Saya fulan bin fulan dari keluarga fulan. Bagaimana kelulusan, kerjaya menjadi status sosial seseorang begitu juga sepatutnya profil keluarga.

Dr. Muhamad bin Abdullah Profesor di universiti

Dari keluarga fulan yang ternama dengan ketinggian akhlak dan budinya

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hujurat:

يأيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلتكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقنكم إن الله عليم خبير

13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Dalam ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa setiap kita mempunyai identiti; ada nama, ada bin, ada bangsa, ada catatan agama dan seterusnya catatan kerjaya dan sebagainya. Barat pada hari ini berusaha mempromosikan agenda penjajahan mereka secara halus. Mereka menjalankan kempen penghapusan identiti manusia tanpa bapa, tanpa bangsa dan tanpa agama. Keluarga yang berencana adalah keluarga yang utuh yang mengenal pasti identiti dan jatidiri keluarga mereka. Kelonggaran identiti keluarga telah dikenal pasti sebagai salah satu penyebab kepada berleluasanya keruntuhan akhlak dan pelbagai bentuk salah laku di kalangan anak-anak.

Rasa kasih dan bangga kepada keluarga adalah suatu unsur yang penting dalam mengawal anak-anak daripada menjadi liar dan terjebak dalam berbagai-bagai salah laku. Adalah menjadi peranan ibu bapa untuk memastikan persekitaran dalam keluarga sebagai satu tempat yang selesa bagi anak-anak untuk mendapatkan kasih sayang dan tunjuk ajar. Selain mewariskan agama dan mendidik akhlak, memberi bimbingan dan tunjuk ajar serta membentuk sifat sifat kepimpinan juga adalah tanggungjawab seorang bapa.

Oleh itu perencanaan yang dimaksudkan ialah sebuah susun atur hidup kekeluargaan yang holistik/menyeluruh bukan sahaja dari segi makan, minum, persekolahan dan sebagainya tetapi menjadikan keluarga itu sendiri sebagai pusat pendidikan yang melahirkan generasi berpekerti mulia dan berprofil tinggi.

Bertitik-tolak daripada hakikat di atas maka pelayaran sebuah keluarga tidak boleh dibiarkan berjalan mengikut arus, sebaliknya hendaklah dipandu dengan nilai dan asas kecemerlangan tamadun Islam yang telah kita warisi. Ketua keluarga harus faham betapa besar peranannya sebagai nakhoda dalam memastikan keluarganya bukan sekadar satu persinggahan sementara tetapi sebahagaian dari sistem hidup Islam/gagasan umat yang menyeluruh. Demi memastikan projek itu berjaya seorang ketua keluarga harus faham peranannya dalam mewariskan agama, pemangkin akhlak dan peradaban, menerapkan keperibadian yang unggul dan kekuatan fizikal dan mental.

Peranan ISMA dalam membina keluarga beragenda

ISMA komited dalam menjayakan agenda keluarga bertakwa. Kesungguhan ISMA dalam melaksanakan hasrat ini dapat dilihat dalam Ucapan dasar AGM ISMA ke-8 pada tahun 2005 apabila kita mengemukakan pandangan tentang pentingnya persekitaran keluarga yang sejahtera bagi melahirkan individu yang mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat handal dan takwa dalam generasi masa depan. Banyak ciri-ciri kekuatan sakhsiah anak-anak boleh dibentuk jika suasana hidup kekeluargaan diwarnai oleh budaya memupuk dan meransang ke arah pembinaan akhlak, cara hidup sihat dan mempunyai jati diri.

Oleh sebab itu, kesejahteraan institusi keluarga menjadi sangat penting terutama dalam komuniti masyarakat moden. Manusia bukan sahaja hidup untuk mengejar kemewahan dan kekayaan semata-mata, tetapi mereka juga berhajat kepada kerukunan dan kedamaian sebuah keluarga yang bahagia, saling percaya mempercayai, bantu membantu dalam ekonomi dan kemasyarakatan. ISMA berpendapat apa pun badai yang melanda, fungsi minima keibubapaan tidak boleh sama sekali diabaikan. Komunikasi antara mereka hendaklah sentiasa baik dan proses reproduktiviti hendaklah dirancang dengan baik dan berkesan.

Bagi memenuhi tujuan dan objektif ini ISMA telah mengambil langkah-langkah yang berikut;

1- Membuat Penyelidikan isu-isu kekeluargaan 2- Membina Modul Usrah keluarga

3- Menjadikan keluarga ahli sebagai pilot projek

4- Menubuhkan Kelab anak-anak hebat Malaysia (NAZIM) 5- Menubuhkan Kelab Remaja ISMA (KRIM)

6- Membina Modul Pembangunan Insan 7- Menganjurkan Selangkah ke Gerbang Perkahwinan

8- Menganjurkan Program Anak Soleh Anak Cemerlang (ASAC) 9- Menganjurkan Program Obor Kasih

ISMA telah menganjurkan beberapa siri seminar yang diberi tajuk ‘Anak soleh anak cemerlang. Melalui program ini kita ingin menimbulkan kesedaran ibu bapa tentang peri pentingnya menjaga kesihatan keluarga, pemakanan dan pengurusan kewangan supaya dengan itu kita dapat membantu keluarga Melayu Muslim untuk menjadi keluarga yang berjaya seterusnya menyumbang kepada melahirkan bangsa yang kuat dan bertaqwa. Ia bermula dengan wujudnya kesedaran pada diri ketua keluarga akan tanggungjawab besar yang terpikul di atas bahu mereka dalam menentukan hala tuju keluarga mereka.

Berapa anak yang nak dilahirkan, bagaimana memenuhi keperluan pendidikan, keperluan makan dan minum dan sebagainya. Membudayakan’ perancanganmenjadi penting dalam memastikan kejayaan peranan besar yang perlu dimainkan oleh sesebuah institusi keluarga.

Visi dan Misi perjuangan ISMA

Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk menceritakan serba sedikit tentang visi perjuangan ISMA. ISMA berusaha ke arah: ‘mencipta sebuah masyarakat yang mencipta tamadun, membaiki peradaban dan budaya yang tinggi berteraskan tauhid dalam segenap lapangan hidup’.

Manakala Misi ISMA:

Kerja utama kami ialah membina manusia secara menyeluruh berpaksikan kepada keluruhan kerohanian, kekuatan jiwa, kecemerlangan akal, berakhlak tinggi, berdaya cipta dan seimbang antara fizikal, mental dan emosi. Kami (ISMA) menjadikan istitusi keluarga sebagai salah satu fokus terpenting dalam menjayakan projek tersebut.

Keluarga berencana akan dapat memainkan peranan sebagai persekitaran (biah) yang baik bagi melakukan proses reproduktiviti yang berjaya. Sifat-sifat seperti kuat, berani dan cerdik akan dapat dilahirkan melalui tarbiah di dalam rumah. Selain tugas mewariskan agama, keluarga juga boleh memainkan peranan melahirkan generasi cemerlang.

ISMA mengatur pelbagai aktiviti untuk membantu ibu bapa menjalankan tugas mereka yang mulia iaitu melahirkan generasi Muslim yang soleh dan cemerlang. Jika wujud perencanaan di peringkat institusi keluarga dan disokong oleh aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Kelab Anak-anak hebat Malaysia (NAZIM), kemudian Kelab Remaja ISMA (KRIM), saya percaya cita-cita untuk melahirkan masyarakat yang bertamadun akan berjaya. Aktiviti ISMA seterusnya di peringkat belia dan dewasa serta wanita sarat dengan elemen yang mengukuhkan agenda tersebut.

Abdullah Zaik Abd. Rahman
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
23 Oktober 2011

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat