Memerangi Kelucahan Hingga Ke Akar

1. Sempena hari ke 18 Ramadan, marilah kita lihat juzuk 18 Al-Quran yang mengandungi solusi kepada isu kelucahan dalam masyarakat.

2. Kelucahan itu bukan terhad kepada isu rogol dan gangguan seksual saja, tapi meliputi segala sesuatu yang merangsang syahwat manusia dari sumber selain pasangan perkahwinan.

3. Selain kata-kata lucah seorang guru dan tulisan lucah netizen, sedar tak sedar, kelucahan dalam masyarakat kita juga dijelmakan dalam iklan bergambar lucah di pasaraya, pakaian anggota masyarakat yang menampakkan bentuk organ seksual dan lawak jenaka mengarut ketika berceramah. Semua itu adalah gangguan seksual.

4. Kita perlu menoktahkan semua amalan songsang ini. Persoalannya, apakah pendekatan yang berkesan? Saya melihat kejayaan usaha ini bergantung kepada satu kata kunci, iaitu kesepaduan.

5. Kelucahan ini mesti ditangan secara bersepadu, iaitu mesti melibatkan promosi kesopanan dan penutupan semua sumber kelucahan. Menerusi Surah An-Nur, Islam menggariskan beberapa panduan yang sepadu, iaitu menutup aurat, menjaga pandangan, menjaga pergaulan, meminta izin menggalakkan pernikahan dan merasa Allah sentiasa memerhatikan. Betapa indah panduan Al-Quran ini.

6. Tanpa kesepaduan ini, semua usaha membaiki penyakit kelucahan masyarakat ibarat mencurah air ke daun keladi.

7. Mulakan usaha memerangi kelucahan dari diri kita dan keluarga kita. Seseorang pernah mengatakan, “Dirikan Islam dalam dirimu, nescaya kau akan lihat ia tertegak di negaramu”.

=====================

Nota: Dikongsikan ringkasan Surah Annur untuk tadabbur kita bersama:

a) Tema utama surah: Mengangkat isu kesucian keperibadian masyarakat dan tipu daya munafiq dalam menyebarkan idea keji dan kotor.

b) Bahagian pertama (ayat 1 – 26) mengandungi perisytiharan zina adalah jenayah yang besar, hingga menyebabkan pelakunya dan pemfitnahnya dikenakan hukuman yang berat.

c) Bahagian kedua (ayat 27 – 34) pula menceritakan kaedah-kaedah mencegah zina dalam masyarakat, iaitu menjauhkan masyarakat dari segala perangsang syahwat dan mewajibkan adab-adab kesopanan sesama lelaki dan perempuan.

d) Bahagian ketiga (ayat 35 – 57) menggambarkan masyarakat yang suci jiwanya hasil penggabungan fitrah insani dan hidayah Ilahi, yang kemudian masyarakat ini berjaya membangun tamadun.

e) Bahagian keempat (ayat 58 – 64) kembali mengisahkan adab-adab dalam rumah tangga dan sosial, kemudian ditutup dengan peringatan bahawa Allah mengetahui segala isi hati manusia

USTAZ BILAL JAILANI
Yang Dipertua ISMA BANGI

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat