ALOR SETAR, 13 Februari – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Alor Setar telah menganjurkan program Hari Ramah Mesra ISMA (HARMONI) di Taman Rimba, Alor Setar bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Program yang menghimpunkan lebih 70 orang ahli, aktivis dan rakan ISMA merentas pelbagai biro ini berlangsung dalam suasana santai dan penuh kemesraan. Pelbagai aktiviti sukaneka diadakan bagi mengeratkan ukhuwah, di samping perkongsian juadah antara peserta yang menambah kemeriahan program.



Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Perhubungan Negeri ISMA Kedah, Dr. Zulkifli Yusof menyatakan bahawa aktiviti seumpama ini menjadi medan penting untuk memperkukuh silaturahim sesama ahli serta menambah amal melalui interaksi yang positif dan membina.


Yang Dipertua ISMA Alor Setar, Dr. Abdullah Tahir bin Abdul Rahim pula menekankan kepentingan menjadikan Ramadan yang bakal tiba sebagai titik perubahan diri dan masyarakat. Beliau memberi contoh bahawa seseorang perokok lebih mudah berhenti apabila berada dalam persekitaran rakan-rakan yang juga meninggalkan tabiat tersebut, sekali gus menunjukkan kekuatan pengaruh komuniti dalam membentuk perubahan.


Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para peserta sebelum bersurai pada jam 11.00 pagi.


