Remaja adalah pelapis masa hadapan negara. Namun, mereka boleh hanyut dengan arus hedonisme, liberalisme dan kebebasan palsu yang menjerat akal dan jiwa, jika tidak diasuh oleh kita semua. Ditambah lagi dengan budaya Barat yang mudah mempengaruhi pemikiran dan gaya hidup remaja sehingga menghakis jati diri.
Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan generasi celik teknologi tetapi gagal membezakan baik dan buruk. Jadi, di sinilah bermulanya krisis kepincangan fitrah dan akhlak.
Mendidik remaja pula, bukanlah tugas individu, tetapi tanggungjawab kolektif seperti keluarga, guru, masyarakat, negara. Tetapi, jika salah satu pihak disibukkan dengan “sistem moden”, nescaya keprihatinan dan kesungguhan dalam mendidik boleh hilang.
Menelusuri sirah, apabila Rasulullah SAW mendidik para sahabat, Baginda memberikan fokus, perhatian dan menitikberatkan keadaan para sahabat agar tidak merasa jemu. Baginda juga matang, bijaksana dan kreatif ketika berhadapan dengan murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah perbezaan aras kognitif.
Asas syariat seperti pendidikan solat, menjaga adab pergaulan dan menjaga pandangan perlu diperkenalkan sejak usia kecil melalui pendekatan berhikmah. Pendidikan solat yang digariskan Islam menunjukkan nasihat berulang kali, bimbingan kasih sayang dan penegasan disiplin perlu selari dalam pendidikan anak. Islam telah memberikan panduan kepada ibu bapa bukan sahaja mengenai tatacara mengisi jiwa anak, malah pada tatacara mengisi masa lapang anak agar membentuk khalifah yang seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelektual.
Tugas guru bukan sekadar penyampaikan ilmu, malah membimbing jiwa. Namun sistem pendidikan moden sering membataskan masa guru untuk berinteraksi dengan murid menyebabkan guru tidak sempat ‘mendidik’ anak murid tentang nilai hidup dan akhlak.
Oleh itu, silibus pendidikan perlu ditambah baik ke arah kesepaduan agama dan psikologi perkembangan remaja agar lebih dekat dengan realiti remaja. Contohnya, pendidikan seksualiti perlu diintegrasikan dengan ilmu pengurusan nafsu atas faktor peningkatan gejala sosial masa kini.
Pada masa yang sama, peranan ibu bapa, guru, masyarakat dan kerajaan dalam mengawal penggunaan alatan elektronik seperti telefon pintar, komputer oleh anak-anak dengan berhikmah. Ibu bapa boleh menetapkan jadual penggunaan alat elektronik di rumah. Manakala kerajaan menggubal undang-undang menapis kandungan media berunsur pornografi. Hal ini adalah mustahak bagi menyekat akses bahan-bahan lucah terus ke ‘tangan’ anak-anak kita yang dikhuatiri cepat terpengaruh.
Membina kembali akhlak remaja bukan kerja sehari dan bukan tugas satu pihak tetapi tanggungjawab ummah dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.
Ustazah Nasyitah Farhanah binti Johari Faisal
Jawatankuasa Biro Tarbiah
ISMA Cawangan Nilai


