Beberapa hari sahaja lagi dalam bulan Ramadan, bulan ibadah dan pengampunan. Bagi mereka yang mensia-siakan Ramadan, hari-hari akhirnya dipenuhi dengan sambutan awal perayaan, membeli-belah dan berhibur. Akan tetapi, bagi para ulama dan salafus soleh, mereka menangisi pemergian Ramadan kerana memahami kedudukan istimewa bulan ini. Mereka melihat berakhirnya Ramadan sebagai satu hambatan kerana tertutupnya peluang luar biasa untuk meraih keredaan Allah SWT berbanding hari-hari biasa.
Al-Quran menegaskan Ramadan sebagai bulan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan pembeza antara yang benar dan batil. Bahkan, berpuasa yang difardukan untuk mencapai takwa. Beberapa hadis sahih menyebut bahawa berpuasa dan menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan iman dan mengharap ganjaran akan menatijahkan pengampunan dosa-dosa. Hadis lain menyatakan bahawa apabila datang Ramadan, pintu-pintu syurga atau rahmat dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.
Di dalam kitab Latā’if al-Ma‘ārif, Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan kata-kata Ma‘la bin al-Fadl bahawa para salaf berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan sebelum Ramadan agar dipertemukan dengan bulan tersebut, dan enam bulan selepasnya agar amal mereka diterima. Bahkan riwayat-riwayat yang menggambarkan kefahaman para salafussoleh tentang bulan Ramadan, yang dinukilkan pada penghujung dan pengakhiran Ramadan begitu banyak:
Diriwayatkan bahawa Saidina ‘Ali RA berseru pada malam terakhir Ramadan:
Maksudnya : Aku berharap aku tahu siapa di antara kita yang telah diterima (amalannya) supaya kita dapat mengucapkan tahniah kepadanya, dan siapa di antara kita yang tidak diterima supaya kita dapat mengucapkan takziah kepadanya.”
(Kitab Latā’if al-Ma‘ārif )
Dikatakan kepada Bishr al-Hafi:
Ada orang yang beribadat dan berusaha melakukan amal soleh pada bulan Ramadan, tetapi apabila berakhir mereka meninggalkannya!” Dia berkata: “Alangkah celakanya mereka, yang hanya mengenali Tuhan pada bulan Ramadan!
(Kitab Mafaatihul Afkar Li-Taahhub Lidaaril Qarar)
Wahib bin al-Ward melihat orang yang ketawa pada hari raya lalu mengatakan :
Jika puasa mereka diterima, bukan begitu sepatutnya keadaan orang yang bersyukur, dan jika tidak diterima, bukan begitu pula keadaan orang yang takut.
(Kitab Latā’if al-Ma‘ārif )
Abu Mansur al-Shirazi berkata dalam perhimpunannya di Tanah Suci pada hari raya Aidilfitri:
Eid bukanlah untuk orang yang berhias-hias dengan baju baharu, tetapi Eid adalah untuk orang yang telah diampuni (dalam bulan Ramadan).
(Kitab Mu’jam As-safar )
Diriwayatkan oleh Malik bin Dinar bahawa beberapa orang dari Basrah membeli seorang hamba perempuan menjelang bulan Ramadan. Hamba perempuan itu melihat mereka membeli makanan dan minuman lalu bertanya kepada mereka, “Apa yang kamu lakukan dengan ini?” Mereka menjawab, “ini untuk bulan Ramadan.” Dia berkata kepada mereka, “Aku sebelum ni tinggal dengan suatu kaum yang setiap hari bagi mereka seperti Ramadan. Demi Tuhan, aku tidak akan tinggal bersama kamu.”
(Kitab Almajaalisah Wa Jawahirul ‘Ilm)
Salah seorang sahabat Sufyan al-Thawri berkata: “Aku keluar bersamanya pada hari Aidilfitri, lalu dia berkata: Perkara pertama yang perlu kita lakukan pada hari ini ialah menundukkan pandangan kita.”
(Kitab At-Tabshiroh Li Ibnil Jauzi )
Diriwayatkan sebahagian daripada salaf akan kelihatan sedih pada Hari Raya Aidilfitri, dan apabila diberitahu, “Ini adalah hari kegembiraan dan kebahagiaan,” mereka akan menjawab, “Anda betul, tetapi saya seorang hamba yang diperintahkan oleh Tuhan saya untuk melakukan suatu amalan untuk-Nya, dan saya tidak tahu sama ada Dia akan menerimanya daripada saya atau tidak.”
(Kitab Latā’if al-Ma‘ārif )
Qatadah berkata: Dahulu dikatakan: Sesiapa yang tidak diampuni pada bulan Ramadan, nescaya tidak akan diampuni pada masa lain. (Kitab Latā’if al-Ma‘ārif)
Para salaf yang soleh, semoga Tuhan meredai mereka, pernah berkata antara satu sama lain setelah berakhirnya Ramadan: Siapakah yang benar-benar kerugian pada bulan ini? Orang yang benar-benar kerugian ialah orang yang berkurangnya kebaikan, dan orang yang benar-benar kerugian ialah orang yang berkurangnya ketaatan.
Jelas sekali bahawa para salaf menangisi pemergian Ramadan kerana kefahaman mereka yang mendalam terhadap kedudukan Ramadan sebagai bulan al-Quran, rahmat, keampunan dan pembebasan daripada neraka. Di samping rasa takut amal tidak diterima, bimbang tidak mendapat keampunan, jadi mereka sedar bahawa masih belum memanfaatkan Ramadan sepenuhnya, dan khuatir tidak akan dipertemukan lagi dengan Ramadan seterusnya.
Sikap ini lahir daripada hati yang hidup dan menjadi teladan bagi umat Islam agar tidak memandang ringan peluang besar yang Allah SWT sediakan dalam bulan yang mulia ini. Sebagai sebuah Ummah yang unggul, pemergian Ramadan seharusnya diiringi dengan perubahan ke arah kebaikan, dan penutupan segala cabang-cabang kemungkaran.
Dr. Muhammad Afif Husman
Ketua Pengurusan Maklumat ISMA


