Prinsip al-walā’ dan al-barā’ (الولاء والبراء) adalah salah satu asas akidah dalam Islam yang berkaitan dengan kesetiaan dan penolakan berdasarkan iman dan kufur. Prinsip ini membimbing umat Islam dalam menentukan siapa yang harus disokong, dikasihi atau yang harus dijauhi dan dibenci, berdasarkan prinsip tauhid dan keadilan.
Al-Walā’ (الولاء) bermaksud kasih sayang, kesetiaan, dan sokongan terhadap Allah SWT, Rasul, dan orang-orang beriman. Manakala, al-Barā’ (البراء) bermaksud, pemutusan hubungan, kebencian, dan penolakan terhadap kekufuran, kezaliman, dan permusuhan terhadap Islam. Seperti Firman Allah SWT :
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ
Maksudnya : “Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman…”
(Surah al-Mā’idah 5:55)
Firman Allah SWT lagi :
لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ
Maksudnya : “Kamu tidak akan mendapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mencintai orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya…”
(Surah al-Mujādalah 58:22)
Melihat kepada perkembangan normalisasi negara Islam terhadap Israel dan Amerika Syarikat (AS), penting untuk umat Islam memahami aplikasi prinsip wala’ dan bara’.
Berdasarkan konsep ini, penolakan terhadap Israel dan Amerika Syarikat bukan kerana mereka bangsa Yahudi atau rakyatnya semata, tetapi kerana Israel menzalimi dan menjajah bumi Palestin serta menindas umat Islam secara sistematik. Justeru itu, perbuatan kejam ini jelas satu bentuk kezaliman dan pelanggaran terhadap hak asasi manusia serta hukum Allah SWT.
Manakala, AS pula menjadi pelindung dan penyokong utama rejim Zionis seperti menyuntik dana pembelian bom dan senjata api, mengabsahkan serangan Israel terhadap penduduk Gaza, menyokong ekonomi Israel dan pelbagai lagi kerjasama yang dimeterai.
Maka, “al-barā’” terhadap mereka dalam konteks ini bermakna:
i.Menolak dan menentang dasar kezaliman, penjajahan, dan permusuhan terhadap Islam dan umat Islam
ii.Tidak menyokong ideologi atau polisi yang bertentangan dengan keadilan dan kemanusiaan.
Namun pada masa yang sama, Islam tidak melarang keadilan dan ihsan kepada bukan Islam yang tidak memerangi umat Islam dan tidak menzalimi mereka. Seperti firman Allah SWT :
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya : “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama…”
(Surah al-Mumtahanah 60 : 8 )
Dalam konteks semasa, prinsip ini boleh difahami sebagai:
i.Wala’ ; sokong perjuangan pembebasan Palestin serta mujahidin dan pemimpin-pemimpin mereka, bantu ummah dan rakyat Palestin yang tertindas, teguh bersama keadilan serta mobilasi masyarakat global ke arah pembebasan daripada penjajahan Israel.
ii.Bara’ ; menolak sebarang bentuk sokongan kepada penjajahan, kezaliman, atau dasar luar yang menindas umat Islam Palestin, termasuk polisi AS dan Israel yang zalim. Termasuk pemimpin-pemimpin mereka dan tidak akan sesekali memberi isyarat menyokong apatah lagi menzahirkan sanjungan terhadap mereka.
Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّة
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu sebagai teman rapat (wali), kamu menyampaikan kepada mereka kasih sayang (dan rahsia), sedangkan mereka telah kufur kepada kebenaran yang datang kepadamu.”
(Surah al-Mumtahanah 60 : 1 )
Begitu juga kasih sayang, pujian, sanjungan, kemesraan tidak akan berhimpun dengan penolakan, kebencian dan permusuhan di satu tempat atau pihak yang sama pada satu masa.
مَا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ ۚ
Allah tidak menjadikan bagi seseorang lelaki dua hati dalam tubuhnya (contohnya menghimpunkan antara kasih dan benci dalam satu masa kepada seseorang)
Kesimpulan, prinsip wala’ dan bara’ menuntut umat Islam menolak dasar dan kezaliman Israel dan AS, serta pemimpinnya bukan kerana bangsa, tetapi kerana, mereka menjadi simbol kezaliman dan permusuhan terhadap Islam serta umatnya.
Namun, pada masa yang sama, umat Islam tetap diperintah untuk berlaku adil dan berakhlak mulia, tidak menzalimi dan tidak menganiaya sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama.
Al-Fadhil Ustaz Rushdan Abdul Halim


