Modul Hadis 40 Imam Nawawi: ISMA Sokong Usaha Mengukuhkan Jatidiri Muslim Di Malaysia

ISMA menyokong sebarang usaha bagi memperkukuhkan jatidiri keperibadian Muslim terutamanya di kalangan generasi muda untuk mewarisi negara Malaysia yang lebih kuat, maju dan berdaulat. Usaha ini perlukan dokongan semua pihak baik masyarakat, pertubuhan sosial apatah lagi kerajaan. Ini merujuk kepada inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan pengajaran modul Hadis 40 riwayat Imam Nawawi di peringkat sekolah.

Terlalu banyak unsur negatif dari luar dan dalam yang cuba melunturkan jatidiri generasi muda dan seharusnya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia tidak hanya berpada dengan usaha ini sahaja. Kita perlu faham, majoriti generasi muda negara ini terdiri daripada belia Muslim. Umat Islam perlu ditanam dengan asas akidah Islam yang kukuh supaya akhlak, pegangan hidup dan kewarganegaraan mereka akan sentiasa diikat dengan iman. Apabila kelompok belia Muslim ini baik, maka baiklah majoriti generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan negara di masa hadapan.

Mengikat setiap amal yang baik dengan niat yang baik, mengaitkan keimanan kepada hari akhirat dengan memuliakan jiran dan meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat sebagai elemen penting dalam keindahan Islam. Ini adalah antara initipati Hadis 40 yang mana jika dihayati dengan baik, mampu melahirkan generasi muda dan warganegara Malaysia yang lebih baik.

Perlaksanaan modul Hadis 40 ini tidak sepatutnya dipolemikkan oleh pihak-pihak tertentu lebih-lebih lagi apabila ianya hanya akan melibatkan pelajar-pelajar Muslim sahaja. Campur tangan sebegini bukan perkara baru kerana sebelum ini mereka seringkali dilihat sebagi virus yang cuba mengubah identiti asal Malaysia yang berteraskan Melayu dan Islam. ISMA menyeru kepada pihak kerajaan untuk tidak tunduk kepada suara sumbang ini kerana mereka tidak mewakili mana-mana kelompok majoriti. Kebanyakan masyarakat Malaysia sentiasa menghormati struktur asas sosial dan kemasyarakatan yang telah kita warisi sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Tn. Nasrul Muhaimin Mohd Taib
Naib Presiden ISMA
Ketua Jabatan Pembangunan Sumber Insan

25 Ogos 2023

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat