Turki, 22 Ogos – Multaqa’ Syabab Antarabangsa 2024 kali ke-6 ini memberikan tumpuan kepada perang Tufan al-Aqsa yang menekankan naratif perubahan yang perlu dilakukan oleh anak muda terhadap ummah.
Menurut wakil ISMA, Ibrahim Allam Said sesi bersama Syeikh Abdullah az-Zindani dan Ustaz Fadhil Sulaiman mengupas tentang perubahan yang dituntut dalam Islam. Perubahan jiwa yang dituntut dalam Islam adalah dengan menyahut seruan Allah dan Rasulnya untuk menjadikan al-Quran sebagai sumber kehidupan.
“Kemudian tanpa jiwa yang hidup dengan risalah (al-Quran), segala bentuk revolusi dan reformasi hanyalah sia-sia. Lihatlah bagaimana Allah merubah masyarakat Arab di Mekah dan Madinah yang hidup dalam keadaan jahiliyah, menjadi generasi yang mengeluarkan seluruh alam dari kejahilan,kezaliman dan penyeksaan melalui cahaya al-Quran,” katanya yang berkongsi di laman sosial peribadi.
Ibrah seterusnya, melihat sebuah generasi yang mengulangi sejarah perubahan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat, mereka itu adalah rakyat Gaza, perubahan yang dilakukan mereka bukan bermula pada Taufan al-Aqsa tetapi sejak mereka memutuskan untuk menjadikan al-Quran sebagai rujukan kehidupan.
“Perubahan itu bermula dengan 6000 halaqah al-Quran di masjid seluruh Gaza yang melahirkan ribuan hafiz, kesannya, perang yang meletus merubah seluruh pandangan dunia terhadap Islam.
“Taufan al-Aqsa diibaratkan sebagai kapal nabi Nuh. Hanya yang menaikinya ( turut serta memperjuangkannya) akan selamat. Badai Taufan ini akan merubah seluruh alam seperti banjir besar yang merubah tamadun manusia di zaman Nabi Nuh. Tiada jalan buat kita melainkan turut serta dalam perubahan yang dilakukan mereka,” sambungnya lagi.
Di penghujung pertemuan seramai 300 orang pemuda daripada 40 buah negara itu, para peserta telah siap siaga dengan teori perubahan secara syarie dan fikrah menyusun langkah-langkah strategik untuk menggerakkan aktivisme bagi membantu Palestin. Para peserta dikumpulkan mengikut negara atau rumpun masing-masing, merangka strategi pembebasan di tanah air daripada anasir-anasir buruk.
Kumpulan Malaysia dan Indonesia telah dibimbing oleh Syeikh Muhammad as-Shogir yang merupakan Pengerusi Lembaga Anshorun Nabi yang juga bekas ahli Majlis Syura Mesir di era pemerintahan Muhammad Morsi Rahimahullah.
“Beberapa nasihat dan cadangan telah diberikan oleh beliau kepada kami antaranya adalah berkaitan kempen boikot di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa Malaysia antara negara yang cemerlang dalam usaha boikot dan sewajarnya usaha tersebut digencarkan lagi sehingga menjadi model bagi negara-negara Islam yang lain. Elakkan agar kempen boikot ini menjadi sejuk dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Presiden Persatuan Belia Islam (PEMBINA) Universiti Malaya (UM), Ibrahim Allam telah mewakili ISMA ke Multaqa Syabab Antarabangsa 2024 kali ke- 6 di Kota Samsun, Persisiran Laut Hitam Utara Turki bermula dari 25 Julai sehingga 13 Ogos lalu.