Dedikasi untuk yang teristimewa ‘Mawar’ di taman larangan.
Allah sudah menggambarkan dalam kitab cintanya, seorang Adam yang mulia pernah dikurniakan nikmat untuk mendiami syurga yang paling indah (20:115-123).
Ya, dia insan pertama ciptaan Allah sedang mengecapi syurga nan indah itu. Apa jua yang menjadi keinginan, terhidang semuanya di depan mata.
Tapi entah mengapa dalam asyiknya dia menikmati indahnya syurga, satu perasaan ‘kosong’ masih bertakhta di hati. Ada perasaan sunyi pada nurani. Ada rasa sepi yang entah dia pun tidak pasti.
Meyelongkar rahsia hati, nah rupa-rupanya dia mendamba ‘seseorang’ untuk menemani. Impian hati, ingin ‘seseorang’ bersama-samanya menikmati keindahan syurga yang dikecapi. Siapakah ‘orang’ itu? Oh, rupa-rupanya hanya insan bergelar hawa.
Teringat lagu Dehearty dalam liriknya; ‘Sedangkan Adam turut sunyi tanpa hawa’. Soalnya, apakah istimewanya hawa, walhal hanya dijadikan dari tulang rusuk kiri Adam?
Bukan sahaja Adam merasa tidak lengkap tanpa hawa, malah syurga turut terasa tidak lengkap tanpa bidadari-bidadari yang cantik jelita. Bukankah bidadari-bidadari itu merupakan kaum hawa?
Duhai setiap akal dan hati, apakah kau masih tidak menemui jawapannya. Jika pelengkap syurga itu hawa, maka penyeri dunia turut hawa. Terngiang-ngiang alunan nasyid IN-TEAM “Wanita hiasan dunia. Seindah hiasan adalah wanita…” Maka, tidak berbanggakah kau menjadi insan yang diciptakan Allah sebagai wanita? Kau adalah perhiasan dan penyeri dunia!
Namun, usah cepat melatah wahai hawa. Usah cepat perasan dek kata yang indah-indah belaka. Cuba ketuk nuranimu, pacakkan iman sebagai dasarnya, berbanggakah kau menjadi wanita yang dianggap sebagai perhiasan dunia?
Sekali lagi, tanya imanmu. Cukupkah sekadar lahirmu sahaja sebagai wanita maka layak untuk membuatkanmu berbangga? Cukupkah?
‘Perhiasan’ itu sepatutnya yang memandang boleh menenangkan hati. Yang gundah-gulana mampu untuk tenteram. Orang tua-tua kata ‘naik seri’, berseri mengindahkan suasana. Menjadi penyejuk mata dan penawar hati.
Lihat sahaja perhiasan yang menyeri di laman, aura bunga-bungaan yang memukau, sejuknya mata yang melihat terasa sangat menyamankan. Jadi, bukankah sepatutnya kaum hawa yang dikatakan perhiasan itu turut sama auranya seperti bunga itu? Sejuknya mata yang melihat, satu-persatu masalah serasa ingin pergi.
Tapi, mengapa sebaliknya terjadi? Tak semua menjadi. Malah kini, kejadian sebaik-baik perhiasan itu seolah-olah sebuah mimpi ngeri. Bukan membuatkan masalah kian pergi, malah terasa ingin lari dek tidak sanggup lagi melihat kacau-bilau yang kian menjadi-jadi. Masalah sosial masakini membuatkan dunia meraung disakiti.
Umat kian parah, penzinaan berlaku habis gadis diratah, tiada lagi malu dek maruah diserah, bayi dicampak masih merah.
Mengapa semua ini terjadi?
Jawapannya cuma satu, kerana hatimu tidak diserah kepada ilahi.
Hati itu, walaupun hanya sekeping cuma, tapi pabila gagalnya hati itu diserahkan kepada Pemiliknya, DIA sudah terlebih dahulu cemburu. Cemburu yang mendatangkan murka, sekiranya tiada taubat yang kembali mengikat hatinya.
Ketahuilah, kita adalah celupanNYA (2:138). Celupan yang mengkehendaki kita menurut asal kejadian. Celupan yang sudah ada tujuan dan hala tuju Sang Pencipta.
Ibarat kita membuat kuih, dari menentukan jenis kuih hinggalah bagaimana bentuk acuannya, kita akan kecewa sekiranya kuih yang sudah terhasil tidak menuruti acuan yang kita mahu. Maka yang tidak mengikut acuan selamanya tidak akan sama dengan yang mengikut acuan.
Maka, beruntunglah yang akur menuruti acuan itu. Kejadiannya kekal terarah kepada tujuan asal diciptakan; untuk menambah seri, menjadi penyejuk mata dan penawar hati.
Perhiasaannya kekal indah terjaga rapi, tidak tercemar dek kotoran dunia. Mahkotanya bukan sebarang berlian, malah cukup mahal tiada tara, kerana maharnya hanya takwa dan iman.
Akhirnya, bukan sahaja menjadi perhiasan dunia malah terus kekal, mekar menghiasi syurga nan firdausi. Nah, itulah yang dikatakan sebaik-baik perhiasan. Benarlah mafhum sabda junjungan; “Dunia adalah sebaik-baik perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah”
Begitulah hati yang cintakan Tuhan. Saat hati diserahkan, segala impian hanya meletakkan Tuhan sebagai letaknya pengharapan. Redup matanya hanya mengharapkan Sang Khaliq jua yang Maha memberi pembelaan dalam apa jua keadaan.
Kerendahan hatinya sebagai hamba tunduk kepada syariat sebuah ketetapan. Bukan jua keredhaan Allah yang menjadi keutamaan malah perlindungan terus dari Tuhan sudah cukup memberinya ketenangan.
Subahanallah…Alangkah sucinya hati itu, keyakinan akan janji Tuhan(90:27-30), mengikat terus hatinya kepada zat yang menciptakan. Maka solehahnya gadis itu hingga membuatkan biadadari-bidadari syurga turut cemburu padanya.
Tapi awas buat hati yang menjauhkan diri dari Tuhan. Apabila hati diserahkan selain Allah, terbuka luaslah pintu-pintu fitnah. Maka tersungkurlah dia ke dalam jurang kehinaan. Habis. Musnah. Punah kesemua perhiasan yang selama ini menjadi dambaan. Ibarat kata pepatah melayu, ‘Habis madu sepah dibuang’, kecantikan yang dimiliki hanya dipergunakan.
Tika itu dia hanya mampu tunduk, menanti untuk dieksploitasi nafsu serakah manusia.
Wahai gadis, tidakkah kau lihat bagaimana cantiknya bunga-bunga di laman yang dijaga rapi? Di siram setiap hari, dibaja dengan baja berkualiti, dibuang segera parasit yang cuba mendekati. Sekiranya bunga sejati itu bunga mawar, ada pula ‘duri’ yang memagari. Mekar cantik dalam jambangan pasu,malah punya wangian semula jadi, berpuluh malah beratus ringgit pun orang sanggup beli. Asalkan halaman rumah cantik menghiasi.
Sebaliknya, alangkah malang nasib bunga di pinggir belantara itu. Dipijak dan dipetik sesuka hati. Terbiar layu tiada siapa peduli. Maka, adakah sama ‘bunga mawar yang dijaga rapi’ tadi berbanding ‘bunga yang tidak terjaga’ ini? Adakah sama nilai sekuntum ‘bunga’?
Begitulah jua tidakkan sama wanita yang menjaga dirinya. Bukan sahaja diri, malah dia cukup berhati-hati menjaga hatinya supaya tidak sewenang-wenang diserahkan kepada yang bukan halal baginya selain kepada DIA yang benar-benar berhak ke atasnya.
Bertambah molek ‘ sebaik-baik perhiasan’ ini kerana hati dan dirinya sentiasa dibajai dengan ilmu dan iman. Akhlak dan amal kebaikan menjadi solekan yang memikat hati. Tidak perlu memakai ‘lipstick’ atau ‘lipice’, bibir sudah cukup menawan dengan basahnya berzikrullah.
Aurat yang terjaga rapi manjadi rahsia kecantikan yang asli. Sejuknya mata memandang melihat wajah yang memiliki ketenangan hakiki. Maka beruntunglah kaum Adam yang berjaya menilai dan memiliki perhiasan srikandi.
Cuba lihat pula bunga plastik. Ya, memang cantik perhiasannya. Terletak indah dalam jambangan mewah. Tapi cuba disembur pewangi, mungkin harumannya lebih kuat dari haruman bunga mawar tadi. Tapi adakah harumannya kekal semulajadi? Adakah haruman itu asli? Jawapannya tidak.
Haruman bunga plastik itu tidak akan kekal. Harumannya palsu yang sementara sifatnya. Berbeza bukan?Haruman bunga sejati bersifat kekal dan asli.
Lantaran itu mengapa haruman bunga rampai untuk wangian bilik pengantin dibuat daripada campuran bunga-bunga asli, bukan bunga plastik kerana keajaiban wangian semulajadi yang dimilikinya tidak ada pada bunga plastik.
Memang kecantikan ‘plastik’ juga mampu menjadikanmu perhiasan yang digilai. Kecantikan itu mungkin membuatkan lebih banyak mata lebih suka memandang,hati-hati lebih ramai tergoda. Tapi ingat, keindahan dunia yang dikecapi hanya membawa kepada azab yang sakitnya tidak terperi di akhirat nanti.
Usah lupa, hidup ini perjalanan menujuNYA. Mahu tidak mahu kita akan bertemuNYA. Tiada siapa mampu mengubah hakikat ini. Cuma bezanya adakah pertemuan itu dalam keadaan kita ini mulia(36:58) atau hina(23:108).
Menjadi dan memiliki ‘sebaik-baik perhiasan’ sememangnya menjadi dambaan semua insan. Cuma bezanya, hanya hati yang cintakan Tuhan berjaya mengenal yang mana ‘sebaik-baik perhiasan’. “Bukankah hanya jauhari sahaja yang mampu mengenal manikam”? Terngiang-ngiang sebuah lagu;
Pandangan mata selalu menipu,
Pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu melulu,
Pandangan hati itu yang hakiki,
Kalau ‘hati’ itu bersih…..
Antara ‘bunga mawar yang terjaga’ mahupun ‘bunga terbiar di pinggiran belantara’, ataupun ‘bunga semulajadi’ dan ‘bunga plastik’, sebenarnya hati yang terikat kepada Tuhannya hanya mengenal si ‘bunga semulajadi yang terjaga’ ini.
Maka, alangkah beruntungnya yang berjaya menjadi dan memiliki ‘bunga’ itu. Hidup di dunia sudah elok terpelihara, pasti matinya syurga abadi menjadi miliknya. Hidup pula terarah ke syurga, di akhirat kelak diundang sebagai tetamu istimewa. Maka, buatlah ‘sebaik-baik pilihan’ untuk “sebaik-baik perhiasan” bagi ‘sebaik-baik kehidupan’ yang tiada pengakhiran.
“Hendaklah kamu menasihati para wanita dengan sebaik mungkin, kerana sesungguhnya wanita itu dijadikan daripada tulang rusuk, sesungguhnya bahagian yang paling bengkok pada tulang itu ialah yang di sebelah atasnya; apabila kamu mahu meluruskannya patahlah ia, dan sekiranya kamu membiarkannya maka kekallah dalam keadaan bengkok. Oleh itu, tolonglah kamu menasihati para wanita dengan sebaik-baiknya”. (Hadis Riwayat Bukhari Muslim & Abu Hurairah).
Akhir sekali, tahniah buat Wanita ISMA atas pelancaran KEMPEN HARGAI DIRI, JAUHI ZINA ini. Moga jadi amal jariah, hujah, menghadap Allah.