TAIPING, 2 November – Progam Kembara Alam Ciptaan Tuhan anjuran Kelab NAZIM Kuala Kangsar dengan kerjasama Kelab Pencinta Alam SMK Dr. Burhanuddin telah diadakan di Taman Tasik Kamunting pagi tadi.
Program ini bertujuan membentuk kefahaman dalam kalangan anak-anak bahawa individu yang menjaga alam sekitar dengan penuh rasa tanggungjawab juga layak digelar sebagai seorang superhero.

“Anak-anak kita selalu mengagumi watak-watak superhero yang kuat dan hebat dalam rancangan kartun kegemaran, tanpa disedari, sebenarnya mereka juga mampu menjadi superhero dalam kehidupan realiti dengan kemampuan dan kekuatan yang dimiliki,” kata pengarah program Anis Sakinah Zakaria.
Pelbagai aktiviti bermanfaat telah dijalankan, seperti perkongsian cara menguruskan sampah di rumah yang disampaikan oleh Zarina Zakaria, Penasihat Kelab Pencinta Alam SMK Dr. Burhanuddin.
Menurut Zarina, kaedah pengurusan sampah yang betul boleh membantu menjana pendapatan pasif kerana sampah yang dikitar semula boleh dijual untuk diproses menjadi barang baharu.
Tambahnya lagi, terdapat kategori plastik yang boleh dan tidak boleh dikitar semula.
“Plastik belian di pasar, plastik pembungkus sayur dan sarung plastik roti merupakan antara contoh plastik yang tidak dapat dikitar semula kerana keadaannya yang teramat nipis menyebabkan mesin kitar semula tidak dapat memprosesnya dengan baik.
“Plastik jenis ini juga tidak mudah mereput, sebaliknya akan terurai menjadi serpihan kecil akibat tindak balas dengan cahaya matahari dan akhirnya menghasilkan mikroplastik. Kesan pencemaran mikroplastik boleh menggugat hidupan air dan darat serta kesihatan manusia,” katanya yang juga merupakan Koordinator Kelab Pencinta Alam Negeri Perak.
Menurut Zarina lagi, plastik juga tidak boleh dibakar kerana akan menghasilkan gas toksik. Oleh itu, plastik ini boleh dijadikan sebagai hiasan kreatif mesra alam menggunakan kaedah eco-bricks untuk mengurangkan sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula.

“Mula-mula, botol minuman plastik diisi dengan sisa plastik bersih dan kering sehingga penuh dan padat. Kemudian boleh digunakan sebagai batu bata untuk membina struktur ringkas seperti kerusi taman, meja mini dan tembok hiasan,” katanya juga seorang guru di SMK Dr. Burhanuddin.
Turut diadakan demonstrasi membuang botol plastik dengan betul seperti penutup botol plastik perlu dibuka, kemudian direnyukkan sebelum dibuang dalam tong sampah untuk menjimatkan ruang.
Para peserta juga berpeluang melihat burung menggunakan teropong dan membuat kolaj bermotifkan burung menggunakan daun-daun kering.
“Mendekatkan anak-anak kecil dengan alam dapat memberi kerehatan sementara daripada kebergantungan terhadap gajet.
“Berinteraksi dengan alam sekitar adalah keperluan asas seorang manusia supaya dapat merangsang kesejahteraan emosi dan mental,” kata Anis Sakinah Zakaria.
Nazim Kuala Kangsar berharap agar rasa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar perlu disemai dalam jiwa anak-anak seawal yang mungkin kerana merekalah pewaris masa hadapan.


