Peristiwa Nuzul al-Quran dalam bulan Ramadan bukan sekadar detik turunnya wahyu, tetapi mengingatkan kembali kepada fungsi asas wahyu dalam membentuk manusia dan membina peradaban.
Ramadan menyaksikan pelbagai bentuk interaksi manusia dengan al-Quran seperti menekuni taranum, mengejar bilangan khatam, dan berazam menghafal al-Quran. Semua itu baik dan terpuji.
Namun, itu hanyalah seumpama juadah sampingan jika dibandingkan dengan juadah utama al-Quran iaitu membimbing manusia mengenal diri, mengenal Tuhan, dan memahami realiti sekeliling termasuk cabaran peradaban yang sedang mengelilinginya.
Justeru, antara bimbingan penting al-Quran ialah membina kesedaran terhadap hakikat penciptaan insan. Al-Quran mengingatkan bahawa insan diciptakan dengan sebaik-baik kejadian tetapi berpotensi jatuh serendah-rendahnya.
Pada masa yang sama, al-Quran membongkar penyakit jiwa seperti tergesa-gesa, cinta dunia, sombong, keluh kesah dan lupa diri, agar manusia mengenal batas dirinya sebelum mengenal jalan memperbaikinya.
Tanpa wahyu dan bimbingan ar Rasul, manusia mudah membina gambaran palsu tentang dirinya sama ada terlalu memuja kemampuan akal dan kuasa, atau terlalu lemah hingga hilang harga diri. Melalui wahyu, manusia belajar bahawa dirinya adalah hamba dan khalifah yang terikat dengan tanggungjawab, tetapi dimuliakan dengan amanah. Inilah asas pembinaan insan yang kukuh dan tidak mudah dipermainkan arus zaman atau kekuatan luar.
Selepas insan mengenal diri, mereka dapat memahami bagaimana al-Quran menunjukkan jalan serta menuntun tangan mengenal Tuhan serta hubungan-Nya terhadap seluruh makhluk. Misalnya, tauhid bukan sekadar pengakuan lisan, tetapi ianya sebuah keyakinan yang mampu membentuk kerangka pandangan alam sehingga membebaskan manusia daripada perhambaan, kuasa, ideologi, hawa nafsu, struktur dominasi yang tidak berteraskan kebenaran kepada pengabdian diri kepada Allah secara total.
Oleh itu, apabila Allah SWT dikenali sebagai Rabb yang Maha Mengatur dan Maha Adil, manusia memahami bahawa hidup ini tidak ditentukan oleh kehendak kelompok tersembunyi atau jaringan kuasa gelap, tetapi tertakluk kepada sunnatullah dan hukum kebenaran.
Inilah asas keberanian generasi awal Islam. Mereka tidak tunduk kepada tekanan kuasa besar kerana mereka melihat realiti melalui neraca tauhid, bukan sekadar neraca material atau dominasi kuasa taghut.
Seterusnya, barulah al-Quran dapat dijadikan satu sumber petunjuk yang dipatuhi bagi mengatur hubungan manusia sesama manusia. Hal ini, yang membezakan antara iman dan kufur, keadilan dan kezaliman, amanah dan khianat, bukan untuk menanam kebencian membuta tuli, tetapi untuk membina sikap berasaskan prinsip dan ilmu. Tanpa panduan wahyu, manusia mudah terperangkap antara dua ekstrem iaitu keras tanpa hikmah atau lunak tanpa batas. Wahyu mengajar ihsan kepada yang lemah, bersikap adil walaupun terhadap yang mereka yang berbeza, dan tegas terhadap kezaliman.
Lebih jauh dari itu, al-Quran menyingkap hakikat permusuhan yang dihadapi oleh manusia, iaitu tentang syaitan sebagai musuh yang nyata. Serta permusuhan manusia yang zahir atau tersembunyi. Konflik yang berlaku bukan sahaja berbentuk ketenteraan, tetapi juga konflik idea, nilai dan persepsi. Dalam dunia hari ini, kita menyaksikan bagaimana peradaban yang mendakwa memimpin dunia semakin hilang nilai rohani dan etika. Gerak langkahnya sering digerakkan oleh jaringan kepentingan tertutup yang sanggup menghalalkan apa sahaja demi kuasa dan pengaruh. Tanpa asas ilmu yang kukuh dan tanpa bimbingan wahyu, keinginan dan kekuatan menjadi ukuran benar dan salah. Inilah tanda peradaban yang terpisah daripada sumber nilai yang hakiki.
Dalam konteks kesemuanya ini, kembali kepada al-Quran bukan sekadar ibadah ritual, tetapi persiapan strategik menghadapi gelombang peradaban yang rapuh nilai. Al-Quran mendidik kita agar tidak hanya bersikap reaktif, tidak emosional tanpa asas, dan tidak pula naif. Al-Quran membina umat yang mampu membaca realiti dengan gabungan wahyu dan akal, menilai propaganda dengan ilmu, dan membezakan antara kekuatan yang sah dengan kekuatan yang zalim.
Generasi sahabat yang dibina oleh wahyu memahami dimensi ini. Ketika negara terbentuk di Madinah, mereka tidak sekadar membina struktur politik, tetapi membina masyarakat yang sedar identiti, jelas prinsip, dan faham ancaman sama ada ancaman ketenteraan, ideologi mahupun dalaman seperti nifaq. Kesedaran inilah yang melahirkan tamadun tauhid; tamadun yang tidak bergantung kepada manipulasi atau jaringan rahsia, tetapi berdiri atas ilmu, akhlak dan keadilan.
Tamadun tauhid bukan dibina atas slogan atau populariti. Tetapi, lahir daripada manusia yang jelas akidah, kukuh prinsipnya dan seimbang hubungannya dengan orang lain. Mereka tahu bila perlu berdamai, bila perlu tegas, bila perlu bersabar dan bila perlu bangkit. Semua itu berpunca daripada panduan dan hidayah al-Quran.
Maka sempena Nuzul al-Quran, persoalan sebenar bukan sekadar berapa kali kita khatam. Persoalan yang lebih mendasar ialah adakah al-Quran telah membimbing kita mengenal diri dengan jujur? Adakah ia menanam tauhid yang membebaskan daripada perhambaan kuasa dan hawa nafsu? Adakah ia mempersiapkan kita menghadapi peradaban yang semakin longgar nilai dan menghalalkan cara atas nama kekuatan?
Jika al-Quran kita jadikan seperti juadah utama, ia bakal melahirkan manusia yang sedar, masyarakat yang berprinsip dan negara yang berdaulat. Daripadanya terbina peradaban yang bukan sahaja kuat, tetapi adil dan berakar pada wahyu dan kebenaran.
Ayuh sambut dan junjunglah al-Quran!
Ustaz Khairul Fatihin Saedal Atas
Ketua Biro Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Nilai


