Melihat kepada komen-komen netizen di portal-portal berita khususnya portal berita bahasa Mandarin mengenai berita ‘Jumaat Hari Jawi’, kita semua pasti berasa tersinggung dan kecewa. Orang Melayu pasti lebih tersinggung kerana tulisan Jawi merupakan sistem tulisan warisan nenek moyang mereka yang menjadi antara teras kepada budaya dan kesenian Melayu.
Menghina tulisan Jawi sebegini merupakan satu penginaan terus kepada orang Melayu dan secara langsung kepada agama Islam. Ini kerana melihat kepada komen-komen mereka, kebanyakannya berbaur Islamofobia. Mungkin apa yang dihasut oleh NGO-NGO dan parti-parti politik cina sudah berjaya menjadi satu ‘kepercayaan’ dalam segelintir masyarakat kita.
Tidakkah mereka sedar bahawa tulisan ini asal usulnya digunakan secara meluas dalam segala urusan rasmi satu ketika dahulu, di mana Raja-Raja Melayu sendiri membaca dan menulis dalam tulisan Jawi? Ianya cuma mula bertukar apabila Inggeris datang dan memperkenalkan tulisan rumi, di mana sedikit demi sedikit sistem tulisan kita diubah sehingga diubah sepenuhnya oleh orang kita sendiri.
Jangan lupa, Sultan Pahang yang kini merupakan Yang Di-Pertuan Agong sendiri telah mengarahkan agar tulisan Jawi dimartabatkan antaranya dengan mewajibkan papan-papan tanda di seluruh Pahang untuk menggunakan tulisan Jawi dan ada negeri-negeri lain juga turut mengikutinya.
Jadi, tulisan Jawi mempunyai sejarah dan hubungan yang sangat rapat dengan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. Malah, ibu bapa atau atuk nenek kita yang belajar membaca dan menulis dalam tulisan Jawi pada awal hayat mereka, pasti mempunyai nostalgia yang istimewa kepada tulisan Jawi. Jadi, janganlah hina tetapi cubalah belajar dan raikan sebagaimana anda meraikan budaya-budaya luar dengan penuh bangganya.
Kita berharap agar kerajaan dapar meneruskan hasrat memperkasakan tulisan Jawi tanpa menghiraukan ‘mulut-mulut jahat’ segelintir orang. Kita yakin, sebenarnya masyarakat berbilang kaum di Malaysia ini akan merai dan menghargai tulisan Jawi sebagai sebahagian budaya dan identiti nasional yang unik, dengan syarat kita bersungguh-sungguh dan konsisten. InsyaAllah.
Sokong Hari Jumaat sebagai Hari Jawi.
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
11 Julai 2020