Oleh : Kaslawati Binti Kassim
Sungguh tidak wajar kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamad Sabu yang menyamakan Rasulullah dengan pelarian.
Seseorang yang mencintai Rasulullah SAW sudah tentu tidak akan sanggup untuk menyakiktinya dengan apa jua cara.
Saidina Ali ra ditanya tentang tahap kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah SAW.
“Sedalam manakah cinta para sahabat terhadap Rasulullah SAW?”
Beliau menjawab.
“Demi Allah, Rasulullah SAW itu kami lebih cintai dari harta kekayaan yang kami miliki, ibu-ibu dan anak-anak kami dan lebih nyaman daripada minuman sejuk pada saat kami sangat dahaga.”
Kenyataan Saidina Ali ra ternyata bukanlah hanya satu ungkapan yang dilafazkan di mulut.
Para sahabat r.a telah membuktikan kecintaan mereka dengan tindakan yang bukan sedikit. Mereka mempertaruhkan harta dan nyawa mereka untuk mempertahankan Rasulullah SAW dan risalah yang dibawanya. Semuanya lantaran kesempurnaan iman yang dimiliki oleh mereka.
Pada petang Perang Uhud, Abdullah in Jahsy berkata kepada Saad Bin Abi Waqas ra.
“Marilah kita bersama berdoa kepada Allah agar Allah membenarkan niat kita dan yang seorang lagi mengaminkannya. Moga dengan ini doa kita akan cepat dimaqbulkan oleh Allah.”
Saad Bin Abi Waqasra pun bersetuju dan mereka berdua pergi suatu sudut dan berdoa kepada Allah.
Saad Bin Abi Waqas memulakan munajat dan doa dengan berkata.
“Ya Allah, apabila perang semakin memuncak, temukanlah aku dengan musuh yang sangat kuat dan garang. Biarkanlah dia menyerangku dengan segala kekuatan dan kemampuannya.Berikanlah kekuatan kepadaku agar aku dapat mengundurkannya. Kemudian, berikanlah aku Ya Allah kekuatan untuk aku membunuhnya keranaMu dan mengaut segala hartanya sebagai rampasan.”
Abdullah Bin Jahsi pun mengaminkan doa itu.
Kemudian Abdullah Bin Jahsy pula berdoa dan bermunajat.
“Ya Allah temukanlah aku dengan salah seorang tentera masuh yang paling kuat. Biarkanlah dia menyerangku dan berikanlah aku kekuatan membalas serangannya dengan sepenuh kekuatan yang ada padaku. Kemudian biarlah dia menang dan membunuhku. Dia akan mengerat hidung dan telingaku daripada jasadku. Moga apabila aku bertemu dengan Mu pada hari kiamat kelak ia akan menjadi saksi ke atasku.
”
Saad Bin Abi Waqas mengaminkan doa itu.
Dalam peperangan keesokan harinya, kedua-dua sahabat itu mendapati doa-doa mereka dimakbulkan oleh Allah tepat sebagaimana mereka minta.
Saad berkata, “Doa Abdullah lebih baik dari doaku. Pada petang perang tersebut aku dapati telinga dan hidungnya terikat pada seutas benang.”
Ini antara bukti kecintaan para sahabat yang sangat mendalam terhadap Allah dan RasulNya. Abdullah Bin Jahsy r.a sangat berharap bahawa pada hari kiamat kelak Allah akan mengesahkan pengorbanan yang telah dilakukannya semata-mata kerana Allah.
Bagaimana pula dengan kita? Andai kita tersilap, bertaubat dan mohonlah keampunan padaNya.
Moga kita juga menjadi umat Nabi Muhammad yang sangat mencintainya, terus mendapat petunjuk dan kekuatan untuk menyambung risalah dakwah baginda semampunya.
Moga Allah pandu dan bantu kita semua.