Pasca COVID-19: Kunci Pemulihan Ekonomi Adalah Saling membantu

Sepanjang tempoh PKP, saya mengambil peluang berkunjung ke warung-warung kecil untuk membeli makan pagi dan tengah hari. Hampir setiap kali juga, saya akan bertemu ahli jemaah surau. Sambil menunggu makanan siap, kami akan berkongsi pelbagai cerita. Soalan yang biasa saya tanya, “Pakcik/Abang/Adik kerja apa?”.

“Pok kerja mesin kelapa. Masuk kerja pukul dua pagi sampai pukul enam pagi. Gaji, cukup-cukup makan la,”

“Saya pembantu pasar. Mula kerja sebelum nelayan balik ke darat. Selalunya, pukul 3-4 pagi dah kena tunggu di kuala”

Kedai-kedai yang saya kunjungi pula, menjual makanan dengan harga yang sangat berpatutan. Roti canai, nasi lemak, nasi dagang dan sebagainya. Kebanyakan mereka, sangat terkesan dengan PKP. Mereka amat bergantung dengan pengunjung yang datang dari sehari ke sehari. Mereka tiada kontrak katering dengan syarikat besar.

Setiap mereka, saling memerlukan. Kedai-kedai kecil ini tidak boleh bertahan lama jika pelanggan yang datang setiap hari ini berhenti membeli. Pelanggan yang datang pula, kebanyakannya bergantung dengan gaji hari. Sebarang kenaikan harga menyebabkan kemampuan membeli berkurangan. Kais pagi, makan pagi.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bagi membantu golongan ini, saya ingin mencadangkan kepada yang berkemampuan agar melakukan yang berikut:

1. Bertukar, dari berbelanja di kedai-kedai besar, kepada kedai-kedai kecil. Percayalah, mutu dan isi kandungan selalunya setanding dengan produk berjenama.

2. Apabila berbelanja di kedai kecil, tidak perlu tunggu baki. Hadiahkan sahaja kepada penjual.

3. Sekali-sekala, belanjalah semua orang yang makan di kedai tersebut. Di kedai-kedai kecil, ini mungkin akan berjumlah sekitar RM50 sahaja.

Mungkin kita dihalang rasa kekok. Namun, cubalah lakukannya. Ia bukan sekadar memberi pengalaman baharu kepada kita, malahan dapat memberi impak positif kepada ekonomi walaupun pada kadar yang amat mikro.

Jika bicara ekonomi mungkin terlalu ilmiah, ingatlah bahawa manusia ini hidupnya saling memerlukan. Hari ini, mungkin nasib kita baik. Esok, belum tentu. Selagi kita mampu memberi, berilah.

Semoga Allah berkati usaha kita yang mampu, dan Allah mudahkan urusan saudara-saudara kita yang diuji.

 

 Nurul Azmir bin Nadzar
Naib Yang Dipertua ISMA Kemaman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat