Wanita ISMA meraikan kebebasan kod pakaian seragam baharu yang telah diperkenalkan oleh Syarikat Penerbangan British Airways kepada semua kakitangan syarikat penerbangan itu.
British Airways yang berpangkalan di London sudah pasti telah menerima hakikat betapa majmuknya masyarakat mereka kini yang secara aktif mengambil bahagian dalam pelbagai industri perkhidmatan.
Implementasi pilihan pakaian seragam baharu bersama tunik dan tudung untuk pramugari seharusnya menjadi ikutan syarikat penerbangan negara ini, memandangkan Islam agama persekutuan dan muslim merupakan penduduk majoriti. Malu sekiranya, kerajaan tidak mampu melaksanakan dasar ini.
Sehingga sekarang syarat untuk menjadi pramugari mestilah tidak bertudung dan perlu mematuhi etika berpakaian yang telah ditetapkan. Ini mengakibatkan sesetengah wanita muslim terpaksa membuka tudung ketika bekerja dan ada yang menarik diri daripada kerjaya ini.
Sedangkan perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya .
Jadi majikan yang meminta pekerja membuka tudung jelas tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Manfaat pilihan uniform baharu ini bukan sahaja kepada pekerja wanita muslim tetapi kepada semua wanita untuk mempunyai pilihan mengenakan pakaian seragam yang lebih sopan dan selesa.
Wanita ISMA komited memperjuangkan kebebasan wanita muslimah untuk mengamalkan tuntutan agama mereka terutama di tempat kerja.
Dr. Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA
12 Januari 2023