1. Kenyataan akhbar Jabatan Perdana Menteri pada 10 Januari 2020, telah mengumumkan bahawa Jemaah Menteri pada 8 Januari telah bersetuju agar jawatan Menteri Pendidikan yang dilepaskan oleh Dr Maszlee Malik dipangku sementara oleh Tun Dr Mahathir.
2. Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia(i-GURU) menyambut baik keputusan ini dan berharap usaha mereformasi dan memperkasa agenda pendidikan negara seharusnya menjadi keutamaan YAB Tun Dr. Mahathir b. Mohamad. Ini kerana sistem pendidikan kita sedia ada jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju dan ia menuntut perubahan yang drastik bagi mendepani era digital dan cabaran IR 4.0.
3. Mengambil kira sikap YAB Tun Mahathir untuk melihat negara Malaysia setanding negara-negara maju melalui penguasaan dalam bidang sains dan teknolagi, iGuru berharap YAB Tun Mahathir mempertahankan dasar-dasar pendidikan negara sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan terutama berkait isu pengiktirafan UEC, pengekalan tulisan Jawi dan memartabatkan Bahasa Melayu.iGuru percaya usaha reformasi ini mesti mendahulukan kepentingan pendidikan mengatasi kepentingan politik.
4. iGuru tidak menolak usaha-usaha mengukuhkan penguasaan sains dan Matematik sebagai langkah membina negara maju namun jangan sampai kedudukan Bahasa Melayu tergadaid an soal-soal mengarus perdanakan pendidikan Islam di dalam sistem pendidikan dipinggirkan dan sekolah-sekolah agama dipandang sepi.
5. iGuru berharap YAB Tun Mahathir mempertimbangkan cadangan mewujudkan sekolah satu aliran bagi membina sebuah bangsa yang bersatu padu selaras dengan semangat Penyata Razak 1956 demi mengukuhkan perpaduan kaum yang terheret dengan isu-isu perkauman. Mewujudkan sekolah satu aliran nasional menjadi penting ketika negara menebal dengan sentimen perkauman dan fahaman rasisme. Sewajarnya sistem pendidikan kita berasaskan satu kurikulum yang menyatukan semua kaum dengan satu bahasa pengantar bermula sejak peringkat sekolah rendah lagi.
6. iGuru yakin keazaman dan keupayaan Tun akan menjadikan sistem pendidikan negara setanding dan seiring dengan kemajuan globalisasi industri dunia tanpa menghakis jatidiri bangsa bagi memenuhi keperluan negara pada masa akan datang.
7. iGuru akan terus menyokong usaha-usaha ke arah memartabatkan sistem pendidikan negara dan berharap pihak KPM bersikap inklusif untuk menjayakan hasrat tersebut.
Presiden iGuru
Mohd Azizee b Hasan
11 Januari 2020