Pemalsuan sijil vaksinasi tidak membatalkan umrah, tetapi…..

Pemalsuan sijil vaksinasi tidak membatalkan umrah, tetapi dikhuatiri boleh mengundang kemurkaan Allah SWT 

Baru-baru ini timbul satu persoalan di mana ada segelintir orang menggunakan sijil vaksinasi palsu sebagai pelepasan di lapangan terbang, untuk menunaikan ibadah umrah. Apakah di sana wujud elemen hilang keberkatan dalam ibadah umrah ?

Persoalan umrah dan vaksinasi adalah dua persoalan yang berbeza, di mana sah atau batalnya umrah itu tidak berkaitan dengan persoalan lain, termasuklah mempunyai sijil vaksinasi atau tidak.

Namun sekiranya persoalan luarannya berkait rapat dengan kesalahan lain seperti mencuri, menipu dan seumpamanya, elemen keberkatan dan pahala serta penerimaan ibadah di sisi Allah SWT itu dikhuatiri akan tercalar dan terkesan.

Ini kerana hakikatnya kita menunaikan ibadah umrah untuk mencari keredhaan Allah, bagaimanakah pula Allah SWT akan redha sekiranya kita beribadah tetapi dalam masa yang sama melaksanakan kesalahan-kesalahan lain, yang boleh mengundang kemurkaan-Nya ? Apatah lagi sekiranya ia boleh melibatkan keselamatan pihak lain terutamanya golongan berisiko.

Pemalsuan sijil vaksinasi boleh dikategorikan sebagai penipuan terhadap pihak autoriti yang bertanggungjawab mengurus keluar masuk negara. Semua polisi yang dilakukan termasuk syarat vaksin adalah bertitik tolak daripada polisi keselamatan yang melibatkan seluruh pihak, bukan pihak-pihak tertentu sahaja.

Mana-mana pihak yang terlibat dalam pemalsuan sijil vaksin perlu bertaubat dan diambil tindakan sewajarnya. Namun sekiranya ia terbabit dalam melibatkan kemudaratan kepada pihak lain, ia boleh didakwa dan dikenakan hukuman atau gantirugi kepada pihak yang terlibat.

Wallahua’lam bissawab

 

Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat MUIS

Scroll to Top