Pemberian PrEP Perlu Mengikut Prinsip Maqasid Syariah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan seramai 1,091 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menghidap HIV bagi tempoh 2020 hingga 2024. Perkara ini sungguh membimbangkan kerana rata-ratanya adalah golongan muda dan cerdik pandai. 

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, KKM turut mencadangkan langkah pencegahan dengan strategi pengurangan kemudaratan (harm reduction) dengan menggunakan PrEP. Tetapi adakah dengan PrEP boleh membendung masalah ini atau ianya akan membuka ruang masalah yang lain pula?

PrEP (Profilaksis Pra-Pendedahan) ialah ubat yang bertujuan mencegah HIV bagi individu berisiko tinggi, termasuk golongan LGBT. Namun, pelaksanaannya tanpa kawalan syarak dikhuatiri menjadi alat kepada normalisasi zina dan kegiatan homoseksual.

Kaedah fiqh menyebut:

  درء المفاســد تقــدم علــى جلــب المصــالح

 “Menolak   kerosakan   adalah   lebih   utama   daripada   melakukan   kebaikan”.  

Kerosakan   (al-Mafasid)    dalam konteks ini merujuk     kepada     berleluasanya zina dan homoseksual   manakala   kebaikan (al-Masalih)    merujuk       kepada    berkurangnya    jangkitan    penyakit   HIV     dalam masyarakat. 

Walaupun ada pandangan yang mengatakan bahawa PrEP boleh mengurangkan jangkitan, tetapi ianya dikhuatiri membuka ruang lebih besar kepada keruntuhan gejala sosial, seperti zina dan kegiatan homoseksual.

Dalam Surah Al-Israa’: 32, Allah SWT melarang melarang zina dan dalam Surah al- Syu’ara’: 165-166, Islam melarang kegiatan homoseksual kerana ia akan membawa kepada kerosakan yang besar iaitu nyawa dan keturunan. 

Justeru itu, Islam menutup semua jalan menuju kepadanya (saddu al-zara’i), seperti menjaga pandangan, larangan berdua-duaan (khalwat), berpakaian menutup aurat, tidak menonton bahan lucah dan membataskan pergaulan.

Ini adalah langkah pencegahan holistik, bukan bergantung kepada alat perlindungan moden yang hanya merawat simptom, bukan akar masalah.

Islam menawarkan rawatan yang menyeluruh dan seimbang dalam menangani isu ini. Melalui prinsip maqasid syariah, Islam meletakkan penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sebagai asas utama dalam merawat sesuatu penyakit.

Manakala sederhana, adil atau wasatiyah perlulah mengikut prinsip syarak tanpa menormalisasikan perkara yang memudaratkan atas nama toleransi atau pencegahan.

Oleh itu, sebarang usaha pencegahan HIV  termasuk melalui rawatan perubatan moden perlulah mengikut disiplin maqasid syariah dan syarak yang jelas. 

Penyelesaian sebenar bukan hanya pada perubatan moden seperti yang diagendakan barat, tetapi pada pendidikan yang membawa kepada kesedaran tanggungjawab dan peranan sebagai hamba Allah yang sejati.

Wallahu’alam

Ustazah Nasyitah Farhanah binti Johari Faisal
ISMA Cawangan Nilai

Scroll to Top