Terlintas di laman media sosial, video seorang ustaz yang memberi cadangan untuk membuang paparan lafaz niat iktikaf di masjid dengan alasan lafaz niat iktikaf tidak diajar oleh Nabi. Saya tidak gemar dengan pandangan sebegitu kerana akan mengelirukan dan tidak jelas ke arah mana kita hendak bawa masyarakat.
Islam ini luas. Ulama setempat di mana-mana negara umat Islam mengambil ajaran dan amalan Islam yang luas itu lalu disusun bersesuaian dengan jiwa masyarakat setempat. Khilaf yang luas dikecilkan dengan mengambil pandangan yang bersesuaian. Pandangan lain yang berbeza didiamkan bukan kerana tidak tahu atau jahil tetapi itulah kebijaksanaan ulama dalam mendidik masyarakat agar menjadi umat yang beramal dan bukan umat yang berteori.
Contohnya lagi, al-Quran boleh dibaca dengan pelbagai qiraat. Banyak negara mengambil bacaan Hafs bahkan menulis mushaf juga dengan tulisan yang boleh dibunyikan dengan qiraat Hafs. Tetapi tidak salah bagi negara-negara seperti Maghribi dan sekitarnya untuk hanya mengajar masyarakatnya dengan bacaan Warsy. Kalaulah ulama mengambil pendekatan ‘edisi bongkar’ bahawa al-Quran boleh dibaca pelbagai bentuk kepada masyarakat luar dari lingkungan ilmuwan Islam pasti akan berlaku kekeliruan yang banyak.
Saya berpendapat, ulama Melayu dulu cerdik dan amat memahami ajaran agama dan tabiat masyarakat Melayu. Mereka menyempitkan pandangan-pandangan ulama yang banyak lalu memilih yang bersesuaian dengan masyarakat Melayu. Amalan-amalan yang dipilih itu dibudidayakan sehingga sebati lalu masyarakat menjadi masyarakat beragama dengan budaya itu.
Oleh itu, kita melihat amalan zikir selepas solat yang tersusun zikir-zikirnya yang membezakan orang Melayu dan bangsa lain. Selawat dengan lafaz khusus dalam selang antara rakaat tarawih juga budaya orang Melayu. Mungkin ada yang akan kata ada amalan yang lebih afdal. Tapi apa yang dipilih oleh ulama dulu tidak boleh dikatakan sebagai salah, tetapi itu hanya isu khilaf yang dikaifiat menjadi satu tertib tertentu.
Berbalik kepada isu paparan lafaz iktikaf, ini sekadar isu pembudayaan sahaja. Mungkin tidak perlu kepada ustaz yang mencadangkan agar ianya dibuang. Tetapi masyarakat kita yang tidak sealim beliau mungkin memerlukannya. Isu melafazkan niat adalah topik yang ulama bincangkan panjang. Medan perbincangannya adalah dalam kalangan ilmuwan agama dan penuntut ilmu agama. Cukuplah di situ.
Masyarakat jika mendengar pandangan mazhab lain yang mengatakan kalau bersahur itu sudah cukup menandakan bahawa dia dikira sudah berniat untuk berpuasa tanpa perlu lafaz, atau mendengar pandangan mazhab lain yang mengatakan bila kita berwuduk itu sudah dikira berniat untuk solat zohor sudah tentu akan keliru lalu mula salah menyalah dan terlajak sampai memperlekeh ulama silam. Rentetan itulah yang sedang berlaku sekarang, apabila ustaz itu mempertikaikan lafaz niat iktikaf dan paparan niat tersebut di masjid.
Seseorang dilihat berilmu bukan kerana dapat memuntahkan segala yang dia tahu tetapi, dianggap berilmu jika berjaya membawa masyarakat menjadi beradab dalam mengamalkan agama.
Itulah yang dilakukan oleh ulama Melayu dahulu. Mereka menyaring khilaf ulama yang mereka juga tahu seperti ustaz itu, lalu menyusun amalan untuk orang Melayu dalam kitab Perukunan. Kitab Perukunan ‘menyembunyikan’ pandangan ulama lain yang ‘dibongkar’ oleh ustaz itu kerana matlamatnya jelas untuk mendidik orang Melayu menjadi masyarakat beramal dan masyarakat beragama. Tersebar kitab Perukunan tanpa kritikan ke seluruh nusantara di zaman tiada teknologi selama berkurun adalah bukti keberkatan pendekatan itu. Berbeza dengan video ustaz itu yang hanya viral dengan kritikan dan mengundang perbalahan.
Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)


