1. Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dihadapkan dengan pertuduhan hujung 90 dahulu, saya menyambut berita itu dengan resah dan tidak selesa. Tidak kira betul atau salah, kedua-dua andaian merugikan survival umat Islam Malaysia.
2. Begitulah juga ketika Dato Sri Najib pula dihadapkan ke mahkamah dan kemudian dijatuhkan hukuman. Juga perasaan yang sama saya alami. Kerana betul atau salah pertuduhan dan hukuman itu, semuanya menunjukkan buruknya negara ini.
3. Dan hari ini Tan Sri Muhyidin pula bakal dihadapkan ke mahkamah. Sekali lagi saya rasa tidak selesa dan bercampur baur. Betul atau salah pertuduhan itu, keduanya menunjukkan kualiti sebenar permainan politik negara kita.
4. Ini tiga Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri, di kelilingnya ramai lagi menteri-menteri lain dan pegawai-pegawai kerajaan yang juga ada sebutan kes.
5. Mungkin kita akan terus menyaksikan peristiwa yang sama dengan aktor yang berbeza untuk beberapa tahun akan datang ini. Dan keadaan akan semakin rumit setiap hari, dengan formula penyelesaian yang makin kabur.
6. Seruan untuk kembali menyelesaikan masalah negara dari titik yang paling asas akan jadi seruan yang canggung. Budaya yang rosak dalam politik dan pentadbiran negara sudah menjadi suatu yang normal dan sukar ditolak.
7. Seruan untuk menaikkan pimpinan yang amanah tidak laku. Seruan untuk menolak pimpinan yang korup juga tidak laku. Seruan untuk kesatuan umat dalam format yang luas tidak laku. Seruan untuk menyenaraikan siapa musuh Islam di negara ini tidak laku. Dan banyak lagi seruan-seruan yang asas …. hampir rata-rata tidak laku.
8. Mungkin inilah zaman yang digambarkan oleh Rasulullah saw sebagai zaman yang orang-orang baik kebingungan tidak tahu nak buat apa.
9. Moga Allah kurniakan kepada kita keyakinan yang tidak pudar bahawa Islam akan kembali berdaulat walau apa juga yang berlaku.
Apabila keadaan terlalu parah, kita akan berperang dengan diri sendiri di dalam isu keyakinan ini.
Wallahul Musta’an
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA
9 Mac 2023