SANDAKAN, 22 Februari – Alhamdulillah, Pemuda ISMA Sandakan telah melaksanakan amanah menyampaikan sumbangan Pek Indahnya Ramadan kepada golongan asnaf di Batu 8, Kampung Sungai Jipun, Sandakan.

Sebanyak 50 pek bantuan asas merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, susu, mi kering, makanan dalam tin dan lain-lain telah diagihkan kepada masyarakat setempat bagi membantu meringankan beban semasa menyambut bulan Ramadan.
Program pengagihan telah dijalankan di hadapan surau baharu yang siap dibina pada awal Ramadan, selain aktivis sukarelawan turut menyantuni penduduk dengan menghantar beberapa bakul makanan terus ke rumah penerima.


Program turut dimulakan dengan tazkirah bertajuk “Kelebihan Ramadan” yang disampaikan oleh Yang Dipertua ISMA Sandakan, Ustaz Muhammad Nur bin Selamit kemudian diteruskan dengan bacaan doa bagi memohon keberkatan serta kelancaran program.

Penduduk kampung menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan yang diberikan. Mereka memaklumkan bahawa ini merupakan kali pertama bantuan daripada NGO Indahnya Islam dan Pemuda ISMA Sandakan disampaikan di kawasan tersebut.
Diharapkan pertemuan ini bukan sekadar program sekali sahaja, malah menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama berterusan dalam usaha dakwah, kebajikan dan pembangunan kerohanian masyarakat setempat.


