Pemuda ISMA wakil ke Multaqa’ Syabab Antarabangsa anjuran Lembaga Ulama Palestin

TURKI, 22 Ogos – Presiden Persatuan Belia Islam (PEMBINA) Universiti Malaya (UM), Ibrahim Allam telah mewakili ISMA ke Multaqa Syabab Antarabangsa 2024 kali ke- 6 di Kota Samsun, Persisiran Laut Hitam Utara Turki yang menghimpunkan hampir 300 orang Pemuda dari 40 buah negara bermula dari 25 Julai sehingga 13 Ogos lalu.

Objektif utama multaqa’ untuk membawa para pemuda menyahut seruan Taufan al-Aqsa bagi membuat perubahan dalam kalangan masyarakat yang kini telah membuka jalan kebangkitan ummah yang sebelum ini sukar dilihat.

Ujar Ibrahim Allam, perjuangan hakiki umat Islam adalah membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman musuh dan usaha ini hanya terlaksana dengan kekuatan dan kepimpinan.

“Dua minggu yang sarat dengan ilmu,tarbiah dan roh perjuangan berlalu dengan begitu pantas, ukhuwah Islamiah yang dijalinkan merentas bangsa menjadikan multaqa ini membawa roh perjuangan ummah yang sebenar.

“Ribuan terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada Lembaga Ulama Palestin di atas komitmen dan kesungguhan mereka memberikan perhatian kepada aspek kekuatan utama umat Islam iaitu pada modal insannya bergelar belia,” katanya setelah selesai program anjuran Lembaga Ulama Palestin.

Ibrahim Allam menyerahkan cenderahati kepada Pengerusi Lembaga Ulama’ Palestin, Syeikh Dr Nawaf Takrouri sebagai tanda sokongan dan kerjasama yang dijalinkan. Beliau meletakkan harapan yang sangat besar kepada rakyat Malaysia khususnya anak bangsa Melayu dalam memperjuangkan pembebasan Palestin.

Katanya, selain dilengkapkan dengan ilmu berorganisasi, para peserta turut berpeluang untuk bertalaqqi bersama para ilmuwan Islam. Antaranya beliau sempat mengulangkaji beberapa kitab bersama Syeikh Muhammad Sa’d Bakr seperti Hadis arbain an-Nawawi, hukum-hakam Jihad beserta kelebihannya oleh Syeikh al-‘Izz Bin Abd as-Salam, 40 Hadis Bukhari dan Muslim berkaitan al-I’dad (siap-siaga), Matan Aqidah al-Thahawiah, 100 hadis pendek dari Sahih Bukhari dan Muslim berkaitan nilai dan kualiti yang mulia.

“Kesibukan para daie dalam berorganisasi dan beraktivsime tidak sewajarnya menghalang kita untuk terus menuntut ilmu Syar’ie, hal ini kerana ilmu syar’ie juga termasuk dalam bidang I’dad (siap-siaga) yang perlu dipersiapkan oleh seluruh umat Islam. Kemahiran para daie mengimbangkan antara keduanya menjadi kayu ukur kecemerlangan para daie dalam dakwah dan Tarbiah,” katanya lagi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat