Pencemaran Sungai : Kebalnya ‘tauke-tauke’

Semalam, saya ada terbaca satu artikel yang ditulis oleh Dr Mohd Zuhdi Marsuki yang mengatakan ada aduan dibuat kepada pihaknya (Kementerian Alam Sekitar dan Air) mengenai pencemaran sungai berlaku dari penternakan ladang babi di Bidor, Perak.

Katanya lagi, penduduk kampung yang tinggal di sekitar sungai tersebut sangat terkesan dengan pencemaran tersebut yang dikatakan juga kumbahan ternakan babi tersebut dilepaskan ke dalam sungai sehingga sungai tersebut akan dikategorikan sebagai ‘sungai mati’.

Saya tidak pasti mengapa perkara ini tidak diambil perhatian oleh akhbar-akhbar arus perdana tetapi saya rasa ianya sangat penting untuk disuarakan, maka saya rasa bertanggungjawab untuk membantu menyuarakannya.

Apabila dikaji lanjut, rupanya isu penternakan babi di Bidor ini sudah dibangkitkan pada September 2020 yang lalu di mana tularnya gambar sungai menjadi kehitaman yang didakwa dicemar oleh kumbahan penternakan babi [2]. BERNAMA telah melaporkan bahawa perkara ini berlaku di Sungai Kuala Gepai, Bidor.

Saya tidak pasti apakah ini sungai yang sama yang diperkatakan oleh Dr Zuhdi Marsuki. Jika ianya sungai yang sama, maka kita perlu persoalkan apa tindakan pihak berkuasa kerana sudah berbulan-bulan perkara ini tidak selesai. Jika ianya bukan sungai yang sama, maka kita boleh persoalkan apakah memang penternak-penternak babi di Perak melepaskan kumbahan di sungai-sungai?

Sebenarnya, isu pencemaran sungai disebabkan ‘tauke-tauke’ sama ada kilang atau penternakan memang sudah banyak berlaku di Malaysia dan seolah-olah kebal, sebagaimana yang diperkatakan oleh Dr Zuhdi ini. Sama juga dengan kegiatan-kegiatan haram yang lain; kebal. Apakah kekebalan ini berpunca dari rasuah dan salahgunakuasa? Saya yakin begitu.

Saya yakin terlalu banyak kegiatan sebegini yang berlaku di negara kita. Cumanya apakah ianya dilaporkan oleh media atau tidak sahaja. Dan semua ini boleh dipengaruhi jika masyarakat setempat bangkit menyuarakannya. Kami berbesar hati untuk membantu mengangkat suara anda.

Saya faham bahawa ada ramai wakil rakyat (ADUN / ahli parlimen) yang tidak prihatin pun dalam isu sebegini mungkin atas sebab kepentingan politik. Bak kata orang, sekarang ini “rakyat jaga rakyat”.

Kementerian perlu lebih agresif dan proaktif bekerjasama dengan akar umbi masyarakat dalam mendepani isu-isu sebegini.

 

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA
2 Disember 2020

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat