1. Kalau dahulu timbul isu Jalur Gemilang dikibarkan terbalik, hari ini timbul pula aduan yang mengadu tentang isu Jata Negara seakan dipermainkan. Dalam sebuah buku yang disunting oleh Kean Wong, muka hadapan buku tersebut seakan mempamerkan Jata Negara yang telah diubah.
2. Gambar yang mirip Jata Negara itu menyelitkan watak seorang kanak-kanak yang berbogel pada bulan dan bintang. Pada hakikatnya, menurut Jabatan Penerangan Negara, bulan dan bintang pada Jata Negara ini adalah simbolik kepada Agama Islam. Malaysia mengangkat Agama Islam sebagai Agama Persekutuan buat negara ini.
3. Gambar tersebut turut mengubah Cogan Negara yang dinukilkan dalam Bahasa Melayu dan Jawi. Ruang Cogan telah diubah menjadi gambar buaya merah. Begitu juga gambar harimau disisinya dipamerkan dengan penampilan yang berbeza.
4. Biarpun kita tidak memahami tujuan sebenar pelukis atau penulis atau penerbit yang memaparkan gambar mirip Jata Negara ini pada buku ini, namun kita mestilah mendidik rakyat agar menghormati simbol rasmi negara.
5. Jata Negara merupakan lambang rasmi kerajaan Malaysia yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Dalam peruntukan undang-undang turut menyebutkan tentang larangan menggunakan Lambang Negara dengan kaedah yang tidak wajar dalam Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
6. Sekiranya pelukis atau penulis atau penerbit memang berniat untuk menghina Jata Negara, maka kumpulan seperti ini seharusnya boleh dikenakan tindakan. Mereka bukan sahaja menghina Jata Negara, bahkan mengubah simbol Agama Islam yang dipaterikan dalam lambang rasmi negara ini.
7. Ingatkan kepada warga Muslim bahawa Rasulullah memilih sahabat yang hebat yang berperanan menjaga lambang rasmi Islam. Mereka yang memegang bendera rasmi adalah mereka yang bukan calang-calang. Bendera Islam ketika dalam Badar di pegang oleh Mus’ab ibn Umayr sehinggalah beliau syahid dalam perang Uhud.
8. Malah begitu pentingnya simbol rasmi ini, Rasulullah menamakan nama-nama tertentu yang mempunyai kedudukan di sisi Rasulullah untuk mendaulatkan perjuangan dan bendera Islam. Perkara ini boleh diperhatikan dalam Perang Mu’tah dimana Rasulullah telah menamakan Zaid ibn Haritha, dan Ja’far Abu Talib dan Abdullah ibn Rawahah yang mana kesemua mereka bukan calang manusia.
9. Masyarakat mestilah dididik menghormati lambang rasmi Negara. Ia sebagai langkah membina kesetiaan dan penghormatan buat tanah air tercinta. Janganlah bersikap seperti segelintir kita yang merendahkan simbol negara, mengibarkan jalur gemilang secara terbalik bahkan merendahkan tulisan jawi yang menjadi identiti negara.
10. Kumpulan yang menghina lambang rasmi negara tidak layak dianggap sebagai warganegara. Mereka tidak menghormati perjuangan dan usaha datuk nenek dahulu dalam mendapatkan kedaulatan negara ini.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha Majlis Ulama Isma (MUIS)