Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan, berhubung tindakan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang memuat naik gambar memijak al-Quran, ternyata tidak menyentuh pokok permasalahan sebenar.
Kenyataan tersebut dilihat lebih cenderung mahu mengalih perhatian kepada isu sampingan. Sedangkan, perbuatan itu merupakan satu penghinaan serius terhadap agama Islam yang tidak boleh dipandang ringan.
Selain menekankan aspek pendidikan dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa, Menteri Hal Ehwal Agama seharusnya menegaskan pendirian yang jelas dan tegas mengenai keseriusan jenayah menghina Islam. Beliau juga wajar mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana individu atau pihak yang cuba mencalar imej serta identiti Islam di negara ini.
Tambahan pula, memelihara kesucian agama adalah teras dan amanah utama Kementerian Hal Ehwal Agama. Oleh itu, dalam isu sebesar ini, Menteri tidak boleh dilihat bersikap lembut atau ragu-ragu, sebaliknya mesti tampil dengan ketegasan yang mencerminkan kewibawaan institusi yang diwakilinya.
Sepatutnya, Menteri dan seluruh masyarakat memahami bahawa undang-undang negara ini sama sekali tidak melindungi perbuatan menghina agama. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan, manakala kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 pula tertakluk kepada sekatan demi ketenteraman awam dan moral.
Selain itu, Kanun Keseksaan melalui Seksyen 295 dan 298 jelas menghukum perbuatan menghina atau melukakan perasaan agama. Jika penghinaan disebarkan melalui media sosial, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 turut terpakai. Malah, mana-mana pihak yang menggalakkan atau bersubahat juga boleh dikenakan tindakan di bawah prinsip persubahatan jenayah.
Dari satu sudut lagi, kita tidak boleh menutup mata terhadap faktor yang mendorong penuntut tersebut menghina agama Persekutuan ini. Individu yang sanggup memijak al-Quran lazimnya tidak bertindak secara tiba-tiba. Tetapi, mereka lahir daripada persekitaran wacana yang secara konsisten melabel Islam sebagai agama ekstremis, menggambarkan undang-undang Syariah sebagai ancaman, termasuk yang terkini, cuba memainkan sentimen perkauman untuk mencetuskan kebencian.
Apabila naratif ini diulang secara berkali-kali, secara tidak langsung telah membina sebuah justifikasi moral palsu bahawa menghina Islam adalah seolah-olah satu bentuk “penentangan terhadap penindasan”.
Jika kerajaan gagal bertindak tegas, mesej yang dihantar ialah penghinaan agama boleh dilakukan tanpa sebarang akibat serius. Ini resepi kepada ketegangan antara kaum.
Oleh itu, para pemimpin tidak boleh tunduk kepada tekanan sekelompok masyarakat yang cuba menguji had kesabaran umat Islam di negara ini. Kesucian Al-Quran ialah satu garis merah yang tidak boleh dilanggar. Penguatkuasaan tegas terhadap pelaku dan penghasut yang menghasut di belakang tabir harus dibuat secara menyeluruh.
Jika tidak, kita sedang membiarkan api kebencian merebak sedikit demi sedikit sehingga membakar seluruh struktur masyarakat. Malaysia tidak boleh membenarkan penghinaan terhadap agama Islam berterusan kerana jenayah tersebut mencabar asas keharmonian negara.
Akhir sekali, undang-undang wujud untuk ditegakkan dan dalam isu ini, ketegasan pemimpin negara dan penguatkuasa bukan lagi satu pilihan, ianya sudah menjadi kewajipan.
Nur Farihah Meor Mazli
Naib Presiden IQanun


