Pengiktiraf UEC, Satu Tuntutan Yang Tidak Bermaruah

Berdiam di atas tanah air Malaysia, bergelar rakyat kepada sebuah negara disatukan oleh perlembagaan yang disepakati bersama sejak sekian lama namun, enggan akur pada dasar dan sistem pendidikan negara yang sejak sekian lama menyatukan rakyat negara ini.

Bahkan memaksa negara ini menerima sistem luar yang tidak memberikan manfaat bersama buat rakyat seluruhnya. Untuk apa kita menerima UEC sedangkan pentaksiran dan penilaian sedia ada dalam sistem pendidikan kita juga sememangnya diterima dan diiktiraf oleh dunia.

Tambahan pula, ini bukan soal kualiti sijil yang menjadi pokok persoalan tetapi tentang hasrat dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bakal diketepikan sekiranya UEC ini diiktiraf.

Nampaknya DAP terlalu memandang rendah sistem pendidikan yang ada di negara ini malah mengangkat Taiwan sebagai kiblat pendidikan mereka.

Acapkali hujah yang menyatakan bahawa kalian telah melaburkan sebegitu banyak wang untuk membangunkan sekolah-sekolah ini maka dengan demikian pengiktirafan UEC sepatutnya diberikan bagi meraikan usaha tersebut.

Jelas, mereka lupa bahawa kita ini menjadi warga di sebuah negara yang punya prinsip dan perundangan. Apakah dengan wang yang dilaburkan dalam membangunkan sekolah-sekolah anda, membuatkan kalian boleh membeli kedaulatan negara? Amatlah jijik sekali sikap sedemikian.
Apakah muslihat kalian sebenarnya? Atau sememangnya ketaatan dan kesetiaan kalian bukan kepada ibu pertiwi ini?

Jika kalian benar-benar menumpahkan taat setia kepada negara ini, buktikan bahawa aliran sekolah cina ini benar-benar mampu menjadi ejen perpaduan kaum serta menunjukkan kepatuhan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Buktikan bahawa sekolah-sekolah ini bukan sekadar mengeluarkan batang tubuh manusia yang kononnya rakyat Malaysia tetapi berbahasa Melayu pun tidak mampu apatah lagi menghayati dan menghormati perlembagaan negara ini.

Hj. Mohd Tahir Hamdan
Perunding Kanan Pendidikan dan Budaya ISMA

Scroll to Top