Pengupayaan ummah adalah hakikat yang sering diabaikan. Masyarakat tidak runtuh kerana kurang bantuan dan khidmat, tetapi kerana tiada pengupayaan. Pembangunan komuniti sering disalah erti sebagai bantuan, sedangkan hakikatnya adalah soal membina daya dan keupayaan. Kita terlalu fokus menghapuskan masalah, tetapi lalai membina keupayaan.
Ummah yang Fadhilah bukan ummah yang bebas ancaman semata-mata, tetapi ummah yang mempunyai kehendak kuat untuk membangunkan diri, berdaya tahan secara sosial, dan mampu menangkis sebarang ancaman terhadap jati diri serta kesejahteraan bersama.
Al-Quran merakamkan prinsip ini melalui kisah Zulqarnain dalam Surah al-Kahfi ayat 95. Ketika penduduk yang terancam oleh Yakjuj dan Makjuj menawarkan ganjaran, Zulqarnain menolak imbuhan tersebut dan sebaliknya berkata: فَأَعِينُونِى – “maka bantulah aku”. Kalimah ini bukan sekadar permintaan bantuan pasif, tetapi datang daripada akar kata عَانَ yang membawa makna sokongan aktif dan keterlibatan bersama, berbeza dengan نَصَرَ yang lebih menjurus kepada pertolongan berbentuk pembelaan atau kemenangan.
Zulqarnain tidak membina tembok sendirian. Beliau mengupayakan masyarakat untuk terlibat dengan kekuatan mereka sendiri. Inilah manhaj dakwah yang wajar difahami. Pendakwah bukan sekadar memadam kemungkaran, tetapi membina pengupayaan masyarakat sehingga sebati dan menjadi identiti ummah.
Pengupayaan masyarakat itu sendiri adalah satu makruf yang dituntut, kerana dengannya kelangsungan ummah dapat dipelihara. Ummah yang tiada kehendak sendiri dan sentiasa bergantung pada orang lain akan rapuh, tetapi ummah yang diupayakan akan teguh dan bermaruah.
Mohd Nasrul Muhaimin bin Mohd Taib
Naib Presiden ISMA


