BANGI, 12 Mac – Mengupayakan komuniti adalah salah satu gerak kerja Ummah Fadhilah.

Kata Pengerusi Musolla Adelia 3, Wafiq Azman ketika ditemui selepas program Ramadan di Musolla Adelia 3 yang diusahakan sepenuhnya oleh penduduk disitu.
Katanya antara tugas sebagai seorang pendakwah adalah mengupayakan ummah seperti menghidupkan aktiviti komuniti bersama-sama seperti solat berjemaah, bacaan surah Yasin dan lain-lain lagi.
“Kita menyahut seruan ISMA untuk mengupayakan ummah kerana pembangunan komuniti sering disalah erti sebagai bantuan, sedangkan hakikatnya adalah soal membina daya dan keupayaan.
“Apabila kita berjaya membina mengupayakan ummah maka akan lahir ummah yang mempunyai kehendak kuat untuk membangunkan diri, berdaya tahan secara sosial, dan mampu menangkis sebarang ancaman terhadap jati diri serta kesejahteraan bersama,” katanya.



Hal ini diterjemahkan melalui perancangan program Ramadan bersama-sama penduduk di situ.
“Surau Adelia 3 pula baru sahaja berdaftar pada Oktober 2025, manakala kawasan berkenaan masih belum mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB). Jadi secara teori, faktor-faktor ini sering dikaitkan dengan komuniti yang pasif, khususnya bagi projek kediaman yang baharu diduduki. Namun, keadaan tersebut tidak berlaku di Adelia 3 kerana mereka telah melaksanakan program Ramadan tahun ini,” katanya.
Wafiq Azman berkata perancangan Ramadan telah dimulakan lebih awal melalui mesyuarat selama tiga bulan sebelum bulan Ramadan. Kutipan dana juga dibuat lebih awal dan berjaya mengumpulkan sebanyak RM8,100 dalam tempoh sebulan bagi menampung kos iftar jamaie.


Selain itu program yang dilaksanakan ialah Gotong-Royong Perdana sebelum Ramadan, Ceramah Ihya Ramadan bersama Ustaz Dr. Sanusi Azmi, solat tarawih setiap hari, Iftar Jamaie, moreh, tadarus, edaran bubur lambuk, Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana sempena Nuzul Quran, Program Malam 7 Likur.
“Bagi memastikan penglibatan menyeluruh, AJK Musolla Adelia 3 memperkenalkan model pengurusan mengikut blok bagi penyediaan makanan iftar dan moreh.
“Minggu pertama dikendalikan oleh kumpulan Blok A, diikuti Blok B, Blok C dan Blok D secara bergilir setiap minggu. Pendekatan ini membolehkan beban kerja diagihkan secara adil selain mewujudkan rasa pemilikan dalam kalangan penduduk setiap blok,” katanya.
Pada minggu pertama, kumpulan Blok A berjaya menyediakan sekitar 300 hidangan berbuka bagi tempoh tiga hari. Kehadiran penduduk dilaporkan menggalakkan dengan penyertaan sukarelawan yang tampil secara sukarela.
Manakala, pada 28 Februari pula, program edaran bubur lambuk sebanyak 270 pek berjaya dilaksanakan sepenuhnya oleh AJK dan penduduk.
Sebelum ini, komuniti Adelia 3 telah menganjurkan beberapa program lain seperti Karnival Sukan Antara Blok (KASDELIA), program Yasin dan tahlil mega serta ceramah berkala.
“Gerakan komuniti yang bermula sejak Julai tahun lalu melalui aktiviti di musolla dilihat menjadi asas kepada kejayaan pelaksanaan Ramadan kali ini.
“Ramadan pertama di Adelia 3 membuktikan bahawa komuniti bandar moden mampu digerakkan secara tersusun meskipun berada dalam persekitaran pangsapuri berskala besar. Pendekatan berstruktur, pembahagian tanggungjawab yang jelas serta kepimpinan setempat dilihat menjadi faktor utama kejayaan inisiatif tersebut,”kata Wafiq yang juga ahli ISMA Bangi.
Residensi Adelia 3 mempunyai 1,321 unit kediaman merangkumi empat blok itu dihuni majoriti keluarga muda, dengan 95.5 peratus penduduk beragama Islam.


