BANGI, 29 Oktober – “Kerajaan wajar untuk melaksanakan penyasaran subsidi pendidikan dan kesihatan kepada kumpulan ‘maha kaya’ di Malaysia. Ini bermaksud tiada lagi subsidi bagi golongan ini yang mempunyai anak di sekolah berasrama penuh (SBP), institusi pendidikan tinggi dan perlu membayar lebih di premis kesihatan awam,“ memetik Perunding Kanan Pendidikan dan Kebudayaan ISMA, Mohd Tahir Hamdan yang mengulas pembentangan bajet 2025 oleh Perdana Menteri.
Namun, Mohd Tahir menegaskan takrif ‘maha kaya’ itu mesti diperhalusi kerana pendapatan isi rumah sebanyak RM 13,000 itu adalah pendapatan biasa bagi pegawai kerajaan bukan JUSA, termasuk eksekutif pertengahan di sektor swasta.
“Mereka bukan golongan ‘maha kaya’ tetapi mempunyai pendapatan yang selesa. Lebih tepat dikenakan penyasaran subsidi kepada para usahawan yang mengaut keuntungan berganda tetapi mempunyai banyak ruang untuk mengurangkan cukai,” katanya lagi.
Ujarnya pendidikan dan kesihatan adalah dua hak asasi rakyat yang patut menjadi tanggungjawab negara kerana sektor ini yang akan membangunkan rakyat yang pandai dan kuat bekerja demi negara.
Mohd Tahir juga memberikan cadangan, supaya kerajaan memikirkan mekanisme untuk menjana pendapatan atau pulangan modal melalui infrastruktur kerajaan, pendanaan GLC dan swasta bagi sekolah serta mengkomersialkan khidmat kepakaran dari universiti awam secara serius.
“Kesimpulannya, kerajaan perlu berani keluar kotak untuk menyelesaikan masalah yang sudah rumit. Model-model asing terbukti hanya dapat berdiri dengan eksploitasi dan penindasan negara membangun dan miskin.” katanya.
Mohd Tahir Hamdan
Perunding Kanan Pendidikan dan Kebudayaan ISMA