Peranan Masyarakat dalam Membendung Gejala Zina.

Statistik terkini menunjukkan sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja telah direkodkan di Malaysia dalam tempoh lima tahun terakhir, menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Angka ini amat membimbangkan dan mencerminkan cabaran besar dalam membendung gejala sosial, khususnya zina, dalam kalangan masyarakat kita. Masalah ini memberi isyarat bahawa terdapat kelemahan dalam sistem sosial dan pendidikan yang memerlukan perhatian segera.

Situasi ini juga menggambarkan simptom kerosakan masyarakat yang berpunca daripada beberapa faktor utama. Salah satu punca asas yang perlu diberi perhatian ialah kelemahan didikan agama. Agama seharusnya menjadi benteng utama dalam mencegah gejala sosial, namun hakikatnya, pendidikan agama sering kali kurang diberi keutamaan dalam sistem pendidikan dan kehidupan masyarakat kita.

Institusi pendidikan berperanan penting dalam membentuk sahsiah individu. Sistem pendidikan perlu dinilai semula bagi memastikan ia benar-benar berfungsi sebagai agen perubahan. Kurikulum pendidikan seharusnya tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga memberikan penekanan kepada pendidikan akhlak dan nilai-nilai Islam. Modul khas yang mendidik pelajar tentang bahaya pergaulan bebas dan zina boleh diperkenalkan untuk membantu mencegah permasalahan ini dari peringkat awal.

Masjid dan surau juga berperanan sebagai pusat pembangunan masyarakat. Dengan menyusun modul khas untuk membina jati diri, institusi ini dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam memantau keimanan ahli komuniti. Program seperti kelas agama, kaunseling, dan aktiviti belia di masjid boleh membantu mendekatkan masyarakat kepada nilai-nilai Islam. Dengan pendekatan holistik ini, masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga pusat transformasi sosial.

Pada masa yang sama, pihak kerajaan perlu memainkan peranan tegas dalam mengawal bentuk hiburan dan aktiviti yang mempromosikan pergaulan bebas. Penguatkuasaan undang-undang berkaitan perlu dilaksanakan dengan berkesan untuk mencegah maksiat yang boleh mencetuskan gejala zina. Kerjasama antara pihak berkuasa dan masyarakat amat diperlukan untuk memastikan langkah-langkah pencegahan ini mencapai matlamatnya.

Membangunkan masyarakat yang bebas daripada gejala sosial bukanlah tanggungjawab satu pihak semata-mata. Ia memerlukan usaha kolektif daripada semua lapisan masyarakat. Keluarga, institusi agama, sekolah, kerajaan, dan NGO perlu berganding bahu untuk menangani isu ini secara menyeluruh.

Sebagai sebuah organisasi yang komited terhadap pembangunan masyarakat, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bersedia untuk terus berperanan aktif dalam usaha ini. Dengan kerjasama semua pihak, kita mampu membentuk masyarakat yang tinggi akhlaknya, kuat keimanannya, dan mampu memimpin umat ke arah keredhaan Allah SWT.

Shazamawati Zamhashari
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat