Perang Iran-Israel: Antara Fakta Dan Sikap Umat Islam

Konflik terbuka antara Israel dan Iran bukanlah sejarah lama, sebaliknya muncul selepas rentetan peristiwa penting dalam dekad belakangan ini.

Segalanya bermula selepas Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 yang menggulingkan Shah Iran, Reza Shah Pahlavi, seorang pemimpin pro-Barat yang mesra Amerika Syarikat dan Israel. Sejak itu, Iran berubah wajah menjadi sebuah Republik Islam di bawah pimpinan Ayatollah Khomeini yang anti-Barat dan anti-Israel.

Walau bagaimanapun, sepanjang lebih 40 tahun kemudian, tidak ada pertempuran langsung di antara Iran dan Israel. Namun, suasana berubah pada Oktober 2023 apabila tercetusnya Taufan Al-Aqsa, di mana Hizbullah — sekutu Iran — mula melancarkan serangan ke atas pendudukan Israel di Bukit Golan, sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Situasi semakin memuncak apabila pada Julai 2024, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, mati dibunuh di Tehran. Siasatan mendakwa pembunuhan ini dilakukan oleh Israel melalui operasi rahsia Mossad.

Kemuncak ketegangan berlaku pada 13 Jun 2025 apabila Israel secara rasmi melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran. Iran membalas dengan serangan peluru berpandu ke Haifa, Tel Aviv dan beberapa bandar Israel, mencetuskan sorakan kegembiraan dalam kalangan umat Islam yang mendambakan kekalahan Israel.

Namun, persoalan besar timbul: adakah wajar kita menyokong Iran dalam konflik ini?

Latar Belakang Iran

Iran sering dilihat sebagai sebuah negara Islam tetapi majoriti penduduk mereka berpegang kepada mazhab Syiah. Menurut kesepakatan ulama (ijmak) mereka yang berpegang kepada fahaman Syiah telah terkeluar dari ajaran Islam yang sebenar. 

Fahaman Syiah berbeza dengan Sunni terutama dalam perkara akidah, syariat dan prinsip kepimpinan. Sunni berpegang kepada enam rukun iman, manakala Syiah menambah unsur walayah (memperhambakan manusia lain) dan imamah (kepercayaan bahawa selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW, kepimpinan umat Islam tidak diserahkan kepada umat untuk memilih, tetapi telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui perlantikan yang jelas oleh Nabi, seperti Imam 12 belas) sebagai rukun tambahan — dan mengkafirkan sesiapa yang menolak kepercayaan itu.

Malaysia secara rasmi telah mengisytiharkan Syiah sebagai ajaran sesat sejak tahun 1996. Namun, hubungan dagang tetap diteruskan, malah Iran adalah salah satu negara pembeli utama minyak sawit Malaysia.

Pengaruh Syiah juga kuat di Yaman melalui kumpulan Houthi dan di Syria melalui rejim Bashar al-Assad. Kumpulan-kumpulan ini terbukti pernah bertindak zalim ke atas majoriti umat Islam Sunni, termasuk melancarkan peluru berpandu ke arah Makkah melalui serangan Houthi.

Usaha mendekatkan fahaman Syiah dengan Sunni pernah dicuba oleh beberapa ulama terdahulu melalui pendekatan taqrib, namun hakikatnya tidak pernah membuahkan hasil kerana tiada titik persamaan yang benar-benar konkrit.

Agenda Israel dan Iran

Agenda Israel sangat jelas iaitu menamatkan kewujudan Palestin dan mendirikan negara Israel Raya (Greater Israel) dari Sungai Nil hingga ke Sungai Furat, seperti yang terkandung dalam ideologi Zionis.

Agenda Iran pula tidak kurang besarnya. Iran secara ideologi mendambakan kebangkitan kuasa Syiah yang meliputi wilayah lebih luas di Timur Tengah. Konsep ini dikenali sebagai “Greater Iran”, iaitu menghidupkan semula pengaruh Empayar Parsi dengan Iran sebagai kuasa dominan yang memimpin rangkaian negara-negara Syiah — termasuk Iraq, Syria, Lebanon (melalui Hizbullah) dan Yaman (melalui Houthi).

Selain itu, Iran menggunakan sentimen “penentangan terhadap Israel” untuk mengangkat imejnya sebagai pemimpin dunia Islam, sedangkan pada masa sama ia menyebarkan pengaruh Syiah ke negara-negara Islam Sunni — termasuk dalam bentuk operasi risikan, dakwah Syiah dan sokongan ketenteraan kepada militia pro-Syiah.

Tindakan umat Islam

Perang Israel–Iran kini mungkin telah mencapai gencatan senjata, dan boleh berulang. Namun, umat Islam tidak wajar terburu-buru menyokong mana-mana pihak kerana kedua-duanya membawa agenda tersendiri dan mempunyai sejarah permusuhan terhadap umat Islam Sunni.

Fokus umat Islam harus tetap kepada membebaskan bumi Palestin dan mendukung perjuangan rakyat Palestin dengan bijak, tanpa terpedaya dengan propaganda yang memesongkan. Dalam masa yang sama, umat Islam perlu:

• Menghayati sejarah negara Palestin dan memahami perjuangan rakyat Palestin.

• Mendalami sejarah fahaman Syiah dan sejarah penubuhan negara haram Israel.

• Memperkukuh akidah diri, keluarga dan masyarakat daripada pengaruh asing yang merosakkan.

• Mendukung sepenuhnya pegangan Ahlu Sunnah Wal Jamaah sebagai benteng akidah umat.

• Mempertahankan identiti negara sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat.

Hanya dengan kefahaman, perpaduan dan pegangan agama yang utuh, umat Islam mampu menangkis musuh yang datang dari luar mahupun dari dalam.

Fakhruddin Afif Bin Fauzi
ISMA Cawangan Alor Setar

Scroll to Top